Khamis, 21 Mac 2013

Orang Melayu Johor makin mesra DAP

Roketkini.com



BAKRI: Masyarakat Melayu di Parlimen Bakri tidak lagi berasa janggal dan mula mesra DAP berdasarkan aktiviti yang sering dijalankan setiap minggu hasil pimpinan wakil rakyat daripada parti pelbagai kaum tersebut.

Menurut Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa, fenomena ini memberi gambaran bahawa orang Melayu mampu untuk mengubah persepsi mereka terhadap DAP yang dilihat seabgai ‘parti Cina’ selama ini.

“Kita masuk ke warung-warung edar risalah, malah kita edar akhbar Selangorkini untuk berkongsi kejayaan negeri Pakatan. Dulu bila kita buat begitu, ada yang tolak mentah-mentah. Pegang pun tak nak!

“Sekarang sangat jauh beza. Bulan Ramadan lalu kita bekerjasama dengan PAS edarkan bubur lambuk.
Masa Tahun Baru Cina kita ada edarkan limau. Orang Melayu, walaupun mereka lihat kita pakai baju logo DAP, mereka boleh terima dan senyum kepada kita,” jelas beliau kepada Roketkini.com.

Menurutnya, keterbukaan Melayu terhadap DAP menyebabkan Barisan Nasional mula mengadakan pelbagai majlis untuk rakyat dengan kehadiran pimpinan-pimpinan tertinggi parti kerana mereka rasa terancam dengan suasana politik baru yang melanda kawasan ini.

Er yang merupakan satu-satunya Ahli Parlimen DAP dan Pakatan Rakyat di Johor berkata, orang Melayu sendiri sudah mula meluat melihat tindak-tanduk pemimpin BN, sama ada di negeri itu mahupun di peringkat nasional.

“Pemimpin BN lebih utamakan keluarga dan kroni mereka daripada kita rakyat biasa,” katanya.

Menjelaskan lanjut, beliau menjelaskan bahawa sekitar dua tahun yang lalu, sebahagian penduduk di Bukit Naning di sini membuat laporan kepadanya memberitahu wujud penyelewengan dalam proses pemberian tanah di Bukit Naning oleh Pejabat Tanah Daerah Muar.

“Tanah ada 28 lot, selepas cabutan lot tanah dibuat. Ramai pemohon yang gagal mendapati kebanyakan tanah-tanah berjaya diberikan kepada orang-orang tertentu yang ada kaitan dengan pengaruh politik, ini memang tidak adil.

“Saya bersama seorang pengadu telah buat laporan polis selepas itu,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Er menambah, ramai belia-belia Melayu juga kini bersama DAP terutamanya di kawasan bandar walaupun ramai belum lagi menyertai parti.

“Ramai antara mereka menyatakan sokongan kepada DAP dan PR. Tak kisahlah samada secara terang-terang atau tidak. Apapun perkara ini memang sangat baik untuk masa depan DAP,” ujar beliau.- Roketkini.com

Tiada ulasan: