Rabu, 27 Mac 2013

Noh: Saya pernah beri 3,000 permit teksi

MALAYSIA KINI


Timbalan pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata pengarah strategi PKR Rafizi Ramli ketinggalan zaman kerana mendakwa pemberian permit teksi individu sebagai tindakan yang meniru dasar Pakatan Rakyat.

Katanya, beliau sendiri pernah memberi permit teksi individu kepada pemandu semasa mengetuai kementerian pembangunan usahawan dan koperasi (MECD).

"Saya ingin menyatakan di sini bahawa semasa saya menjadi menteri MECD saya pernah memberi 3,000 permit individu kepada pemandu teksi," katanya dalam satu kenyataan yang diperolehi Malaysiakini.

Beliau mengulas kenyataan Rafizi, semalam, yang mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meniru dasar Pakatan Rakyat dan menggunakannya untuk menarik sokongan pemandu teksi supaya mengundi BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan Rafizi itu timbul selepas Najib membuat pengumuman mengenai pemberian 1,000 permit teksi individu pada hari Ahad.

Pakatan juga menawarkan penyelesaian jangka panjang dan bukan hanya “gimik politik” untuk menangani masalah pemandu teksi itu, kata Rafizi.

Noh bagaimanapun menayangkal dakwaan berkenaan yang disifatkannya sebagai kenyataan yang menipu rakyat.

"Saya ingin menasihati Rafizi supaya mengkaji lebih dahulu sebelum membuat knyataan yang akan menyerlahkan sikap kurang cerdik mereka," katanya.

Tiada ulasan: