Rabu, 20 Mac 2013

Najib Patut Mulakan Kerajaan Persekutuan “Caretaker”


Tian Chua parlimen 01

PETALING JAYA  : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu menjadikan kerajaan persekutuan sekarang sebagai kerajaan “caretaker” atau kerajaan sementara kata Ahli Parlimen Batu Tian Chua.

Kata Tian Chua, ini kerana mandat pentadbiran persekutuan sedia ada telah berakhir pada Mac 8, iaitu genap lima tahun selepas pilihanraya umum ke-12.

Sebuah kerajaan “caretaker” katanya, tidak boleh mengubal dasar atau menetapkan perbelanjaan baru tetapi boleh meneruskan kerja jentera kerajaan seperti biasa.

Tian Chua berkata ia ialah satu tuntutan Pakatan Rakyat (PR) terhadap kerajaan Umno-BN hasil daripada Persidangan Antarabangsa Tentang Pilihanraya Umum Ke 13 Malaysia anjuran Pejabat Ketua Pembangkang pada 4 dan 5 Mac lalu.

“Sebuah kerajaan “caretaker” membenarkan Najib untuk mentadbir namun tidak membolehkan beliau untuk menetapkan dasar dan perbelanjaan baru untuk meraih undi”.

“Kalau kerajaan berterusan bercakap tentang transformasi dan mahu menjadikan Malaysia salah satu negara terbaik mengamalkan sistem demokrasi maka kita ingin melihat komitmen berhubung tuntutan ini”.

“Ia tidak memberi makna apabila bercakap mengenai transformasi tetapi tidak mengamalkannya seperti cara proses pemilihan kerajaan dalam pilihanraya,” katanya.

Beliau berkata, tuntutan lain dibuat PR adalah tempoh kempen selama 21 hari dalam pilihanraya dan liputan media yang adil untuk semua parti dalam pilihanraya.

Katanya, penjawat awam juga diminta demi mengamalkan sikap berkecuali dalam pilihanraya dan meminta Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menjalankan tanggungjawab mereka secara telus dan profesional.

Tian Chuan menjelaskan satu salinan laporan program itu telah diserahkan kepada Menteri Hal Ehwal Parlimen, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pada 14 Mac lalu.

Tiada ulasan: