Khamis, 21 Mac 2013

Muslimah PAS pertaruh 8 kerusi Parlimen, 14 DUN

 
Lapan kerusi Parlimen terbabit adalah di negeri Kelantan, Selangor, Sarawak, Negeri Sembilan serta Perak.



KUALA LUMPUR: Wanita PAS bersedia bertanding lapan kerusi Parlimen dan 14 Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum 13 (PRU13) nanti.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Dr Mariah Mahmod berkata, lapan kerusi Parlimen terbabit adalah di negeri Kelantan, Selangor, Sarawak, Negeri Sembilan serta Perak.

Manakala DUN pula, Muslimah PAS meletakkan calon di semua negeri; majoriti di Johor kecuali Perlis.

“Setakat ini jumlah kerusi yang muktamad bagi Muslimah PAS. Kalau ada pertambahan itu bergantung pada keputusan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Mengenai calon, Mariah berkata muka lama yang menang kerusi PRU 12 akan dicalonkan semula manakala selebihnya adalah muka baru.

Katanya, kerusi yang akan dipertandingkan itu merupakan kawasan yang majoritinya adalah pengundi Melayu.

Beliau yakin calon yang dikemukakan Muslimah itu semuanya mempunyai kualiti yang baik dan berpotensi untuk menang.

‘Ramai yang layak’

“Semasa proses pemilihan kita ada ramai nama yang layak tapi tak semuanya bersedia kerana komitmen lain seperti mengurus keluarga.

“Jadi calon yang ada sekarang ni adalah calon yang amat layak dan berkualiti untuk menang PRU,” katanya.
Ahli Parlimen Kota Raja itu turut yakin matlamat wanita Pakatan Rakyat mengisi kuota 30 peratus dalam PRU akan tercapai.

“Kita akan tunggu keputusan calon Wanita PKR dan DAP…saya rasa boleh capai kuota 30 peratus,” katanya.

Sementara itu, Mariah turut membidas hasrat parti Barisan Jemaah Islam SeMalaysia (Berjasa) dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) untuk bertanding PRU1 3.

Menurut Mariah, kemunculan Berjasa itu sebagai ‘kacau daun’ dan hanya untuk memecahkan undi Melayu dikawasan yang mahu ditandingi Pakatan Rakyat.

Katanya, tujuan Berjasa jelas apabila Pakatan Rakyat mahu meletakkan calon bukan Melayu disesuatu kawasan.

‘Balaci Umno’

“Dia (Berjasa) hanya balaci Umno kerana nak tarik undi Melayu di kawasan bukan Melayu sekaligus mengurangkan sokongan kepada Pakatan,” katanya.

Berjasa, parti serpihan PAS ditubuhkan oleh Datuk Mohamad Nasir dan Datuk Ibrahim Ali ketika krisis berlaku di Kelantan pada tahun 1978.

Sementara itu Ketua Penerangan Dewan Muslimah PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi berkata Berjasa cuba menggunakan taktik lapuk yang pernah digunakan mereka pada tahun 80-an.

“Pada masa ini rakyat dah terbuka untuk menerima sesiapa sahaja yang berwibawa.

“Kalau menang apa usaha yang mereka nak bawa…kalau menang sekalipun mereka akan jadi kera sumbang dalam Parlimen.

“Kena ingat PRU 13 bukan masa untuk memilih individu tapi soal gabungan parti yang boleh membentuk kerajaan,” katanya.

Presiden Berjasa Sultan Abdul Kadir pada 8 Februari lalu berkata pihaknya akan meletakkan calon di 90 kerusi; 50 kerusi Parlimen dan 40 kerusi Dun.

Mensasarkan kawasan di Pantai Barat, Sultan berkata pihaknya yakin mampu menjadi kuasa ketiga selepas BN dan Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: