Rabu, 20 Mac 2013

Meletakkan Air di tangan awam


air-syabas_MB1

SHAH ALAM  : Badan tugas khas (Special Purpose Vehicle – SPV) untuk mengurus dan mengendalikan aset air Selangor bakal dimiliki bersama negeri dan rakyatnya, apabila pelan penstrukturan semula industri air Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berjaya dilaksanakan.

Khalid menyatakan jika pelan itu berjaya, beliau mahu memperuntukkan ekuiti dalam SPV kepada lima juta penduduk Selangor serta disenaraikan di bursa satu hari nanti.

Aset sebenar akan dipegang oleh Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) apabila ia menswastakan empat pemegang konsesi air – Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Bekalan Air Selangor Bhd (Syabas), Konsortium ABASS Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluaran Air Selangor Holdings Sdn Bhd (SPLASH).

Aset-aset yang disatukan ini kemudiannya akan dipajak semula kepada SPV di bawah syarikat milik penuh negeri, Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB).

“Satu daripada kelemahan monopoli penswastaan adalah ia tidak melindungi kepentingan rakyat. Jika kita berjaya dalam tindakan RM9.65 bilion ini, kita akan meminta rakyat Selangor membelinya,” kata Khalid.

“Terdapat lima juta rakyat di Selangor. Jika semua orang membeli di atas asas yang sama, kosnya kira-kira RM2,000 setiap orang. Kita boleh mengumpukkan, katakan, 2,000 saham bagi setiap penduduk Selangor.
“Kemudian, setelah kita menguruskan aset tersebut dengan jayanya, kita akan menggunakan dividennya untuk mengimbangi kos RM 2,000 tadi.

“Akhirnya, setiap orang akan mempunyai saham dalam SPV. Mereka akan menjadi pemilik dan pelanggan. Seterusnya, setelah untung, kita boleh apungkannya sebagai sebuah syarikat awam dengan ramai pemegang saham,” jelas Khalid.

Nilai yang digunakan dalam penjelasan beliau ini adalah mudah dan bersifat andaian, tetapi menyerupai model yang diwujudkan oleh bekas ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Bhd (PNB) ini, hampir 30 tahun lalu untuk syarikat pengurusan dana.

Pada tahun 1981 dahulu, Khalid cuba melancarkan unit amanah bagi bumiputera miskin, tetapi mendapati ramai yang tidak mampu, jadi dia meyakinkan Perbendaharaan untuk mengeluarkan pinjaman RM 500 juta bagi membolehkan bumiputera melanggan saham. Kosnya telah ditolak dari dividen dan akhirnya, setiap orang boleh memiliki unit amanah.

Di bawah pengurusan KDEB, Khalid yakin aset air negeri boleh diurus secara menguntungkan untuk para pemegang sahamnya.

“Aset air kini beroperasi dengan 33% adalah air tidak berhasil (NRW). Bolehkah anda bayangkan jika kita kurangkan kepada 20%? Malah, ketika pengurusannya tidak cekap sekarang ini pun, masih ada margin (keuntungan).

“Apa yang akan berlaku jika anda kurangkan kadar (NRW)?” kata Khalid.

Kadar air tidak berhasil (NRW) ini menjadi titik telagah antara Syabas dan kerajaan negeri Selangor, apabila Syabas mendakwa ia tidak dapat mencapai sasaran 19.98% tersebut kerana kekurangan dana dari negeri.

Walau bagaimanapun, Khalid menegaskan Syabas sejak dari awal bersetuju untuk memenuhi sasaran 19.98% air tidak berhasil dengan bajet sebanyak RM 784.1 juta.

Akan tetapi, sejak 2005, Syabas telah membelanjakan lebih daripada RM 995.7 juta tetapi hanya mengurangkan kadar NRW kepada 32.31% daripada 37.65%.

“Di samping itu, laporan audit menunjukkan Syabas tidak mengamalkan urus tadbir yang baik, kerana tidak membuat tawaran tender kontrak secara betul. Jika kita boleh memperbaiki sistem tender, kita boleh mengurangkan kos.”

Kira-kira RM 700 juta nilai kontrak telah diserahkan oleh Syabas, di mana lebih 80% daripadanya dilakukan secara tender rundingan, tegas Khalid, sambil menyebut kerajaan negeri juga diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

“Jika kita boleh mengurangkan kos dan meningkatkan hasil, sudah tentu kita boleh membuat keuntungan.
“Persoalannya ialah: perlukan keuntungan ini dinikmati oleh segelintir ahli perniagaan, atau ia perlu dikembalikan kepada rakyat yang menggunakan kemudahan tersebut.

Tiada ulasan: