Isnin, 18 Mac 2013

Masuk Bolos Keluar Pun Bolos - Apa Sudah Jadi Dengan Tahap Pertahanan Negara?


 
KELAB GREENBOC

Ketua Penceroboh Sulu bolos bukti perairan negara mudah ditembusi

BAGAN SERAI: Bekas Panglima Angkatan Tentera Darat, Jen (B) Tan Sri Md Hashim Hussein mempersoal tahap pertahanan negara berikutan perairan negara khususnya di Sabah, terlalu mudah ditembusi.

“Ikut media arus perdana, ada dua bot keluar dari perairan kita. Maknanya bolos dan hanya dicekup tentera laut Filipina. Jadi, Orang masuk pun bolos, orang keluar pun senang-senang sahaja.

“Itu sebab saya kata, mungkin ada agenda tersembunyi yang kita tak tahu,” katanya yang meminta lebih 5,000 hadirin menjawab sendiri persoalan itu, ketika berucap pada Jelajah Merdeka Rakyat di Bagan Serai, Perak malam kelmarin.

Beliau merujuk kenyataan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain yang mengesahkan Ketua Penceroboh Sulu, Azzumudie Kiram melarikan diri ke selatan Filipina 15 Mac lalu.

Hashim yang pernah berkhidmat di Sabah hairan berikutan berlaku pencerobohan di Lahad Datu yang disifatkannya tidak harus berlaku kerana sistem pertahanan negara berlapis-lapis hingga sukar ditembusi.

“Kita buat berlapis. Kumpulan paling rendah sekali – infantri, keupayaannnya terbatas. Mereka jaga di tepi pantai, dilengkapi peralatan untuk awasi kawasan hadapan.

“Itu lapisan pertama. Dan kita ada bot-bot tempur yang boleh meronda kawasan laut. Lapisan kedua, kawasan laut luas ditugas kepada TLDM dan TUDM untuk buat pengawasan.

“Lapisan ketiga sebelum sempadan antarabangsa, kapal terbang dan bot besar ditempatkan di lautan luas. Jadi berlapis-lapis dan diperkuat pula dengan radar – boleh kesan musuh,” katanya.

Hashim berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memiliki peralatan canggih dan mahal tetapi mempersoal sama ada ia dibeli dengan harga tinggi tetapi tidak berfungsi kerana kualitinya rendah.

“Mungkin juga rosak sebab kurang diselenggara. Mungkin, alat ganti tak ada, tak dibeli. Kontraktor tahu bekal sahaja. Rosak, selenggaraan, bukan dia kira,” katanya.

Beliau bertugas bersama ATM selama 38 tahun dan pernah bertugas di Sandakan, Sabah; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Islamabad, Pakistan dan Pegawai Kanan di Wisma Putra serta pernah berkhidmat di Bosnia.

Tiada ulasan: