Khamis, 14 Mac 2013

Manifesto Pakatan: Masa depan telah tiba!





Oleh Dr Dzulkefly Ahmad

Cabaran yang menanti kerajaan baru di Putrajaya, bagi merealisasikan sebuah reformasi menyeluruh kehendak rakyat, bukanlah satu yang kepalang.

Khuatir bercampur bosan dikecewakan dengan kegagalan pada silih bergantinya pucuk pimpinan tertiggi yang mengemudi Negara, meletakkan ada yang sinis dan tidak lagi ghairah dengan datangnya musim pilihanraya yang sepatutnya menyuntik pengharapan baru.

Ketepuan serta kehilangan semangat ini sahaja sudah cukup bagi mengendalakan proses perubahan.

Paling parah lagi kalau semakin menebal tanggapan serta kehilangan kepercayaan bahawa walau apa pun polisi-polisi penambahbaikan kerajaan sedia ada ini, dan betapa banyak pun sumber serta dana diperuntukkan bagi menjayakan sesuatu agenda perubahan itu, semua akan berakhir dengan kegagalan. Rakyat teramai akan terus dihimpit dengan bebanan hidup.

Atas sebab itu sahaja secara tunggal sudah cukup menasabah bagi rakyat di Negara menimbang secara serius bagi melakukan perubahan pemerintahan, paling tidaknya untuk satu penggal.Kerehatan dari tertakluk kepada sebuah regim yang telah terlalu lama mentadbir sehingga kehilangan kepekaan dan keprihatinan terhadap rakyat teramai adalah sangat wajar.

Di persimpangan kritikal penentuan kepimpinan politik negara yang merupakan pilihanraya paling getir dalam kelangsungan survival negara-bangsa ini, Pakatan Rakyat, sebuah muafakat politik berusia hampir 5 tahun, telah tampil membuat tawaran kepada seluruh rakyat sebagai pencabar Barisan Nasionaldi peringkat Persekutuan, dengan mengangkat sebuah manifesto yang diberi jodol “Pakatan Harapan Rakyat”.

Persis slogannya, apakah ini harapan rakyat untuk keluar dari kemelut tak berhujung yang di alami berdekad lamanya ini?

Pakatan  Rakyat sangat berani mengemukakan tawaran sulungnya bagi merampas kuasa dari seteru politiknya, sekaligus menawan Putrajaya.Keberanian itu juga bermaksud kesediaannya untuk seluruh tawaran manifestonya ditelek dan dikritik oleh pelbagai pihak.

Mengelakkan dirinya dikesani gugup dan tercabar, pimpinan Umno-Barisan Nasional (UBN)membalas bahawa manifesto mereka hanya akan diterbitkan setelah parlimen di bubar.

Pun begitu, UBN hanya sekadar mampu melontarkan kritik dan kecaman. Tegasnya dan mudahnya kalau manifesto Pakatan Rakyat dilaksanakan negara pastinya akan muflis atau bankrap.

Itu sahaja wirid UBN yang mampu diucapkan, baik pimpinan tertinggi mahupun pengerusi JKKP, sepanjang waktu yang dikitar tidak bernokhtah di media perdana kawalan UBN.

Namun apa itu manifesto?

Dari the ‘Free Encyclopedia, Wikipedia’, takrif sebuah manifesto adalah satu bahan yang diterbitkan oleh seorang individu, kumpulan, sebuah badan politik mahupun sebuah kerajaan bagi menjelaskan visi dan misi tawaran mereka khasnya di dalam sebuah pilihanraya. Takrif itu adalah sangat bertepatan dengan apa yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat.

Penulisan ini adalah bagi menonjolkan pemikiran dan falsafah di sebalik tawaran Pakatan Rakyat .Perincian tawaran-tawaran manifesto Pakatan Rakyat mungkin sudah sedia dimaklumi. Mengetahui pemikiran disebalik pelbagai tawaran manifesto yang mengangkat tema “Pakatan Harapan Rakyat” adalah penting.

Menganalisis pelbagai reaksi dan tanggapan terhadap manifesto adalahmenarik.Respons bercampur danada juga menyifatkannya tidak‘reformis’ hanya ‘populist’.

Penulis tidak wajib menjelaskan sumber dana serta darimana puncanya kerana pembentangan manifesto bukanlah satu pembentangan belanjawan negara.Pun begitu penulis akan terangkan bagi meredakan golongan yang sangat khuatir bahawa negara ini akan bankrap dalam usia tahun pertama Pakatan Rakyat.

Tema “Pakatan Harapan Rakyat”  bertujuan menegaskan bahawa cita-cita membina sebuah bangsa yang bersatu padu dan Negara yang makmur di mana seluruh rakyat yang mengecapi kesejahteraan telah gagal.

Rakyat selaku tuan dan bos kepada negara ini sudah bersedia untuk melakukan reformasi tertangguh ini dan Pakatan Rakyat menawarkan diri menjadi wahana dan wadah perubahan besar ini.

Pertama-tamanya, perubahan mesti datang bersekali dengan pengukuhan kembalisemua institusi-institusi kritikal Negara agar ia bebas dan berintegriti lantas dapat menjalankan tugasan menyemak-imbang pihak Eksekutif bagi menggalas amanah perlaksanaan cita-cita.

Bersendikan empat tonggak utama yakni Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Kerajaan Rakyat, manifesto “Pakatan Harapan Rakyat” membina sebuah visi dan misi untuk mengangkat dayasaing Negara sebagai Negara yang bermaruah, berdaya-saing dan ulung.

Manifesto Pakatan Harapan Rakyat adalah cita-cita untuk menempah sebuah pembangunan sosial yang adil yang berteraskan rakyat dengan mendepankan rakyat.

Ia adalah satu paradigma pembangunan yang jelas kontra dan bertembungan dengan paradigma pembangunan UBN yang mendahulukan kroni serta suku-sakat sehingga membarah jurang perbezaan kaya-miskin dan kesenjangan pendapatan dan kekayaan yang terlalu ketara dan kronik.Lihat sahaja jumlah yang layak mendapat BRIM 2.0 bagi mengesahkan kesenjangan pendapatan iaitu sebanyak 4.3 juta isi-rumah berbanding 6.3juta isi-rumah di seluruh Malaysia.

Pakatan Harapan Rakyat akan menjadikan Malaysia sebuah Negara yang ditadbir secara adil dan berkeamanahan di mana rakyatnya hidup makmur dan bermaruah.

Pakatan Harapan Rakyat meletakkan masyarakat bermaruah adalah sebuah negara-bangsa yang yakin dengan asal-usulnya, berpegang dengan prinsip agama an nilai-nilai sejagat, yang membela yang benar dan menentang yang zalim, saling menghormati dan mempercayai hati-budi yang lain dan tidak pula tebal dengan prajudis dan kesangsian.

Manifesto ini menegaskan peri-pentingnya menghayati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta menjamin hak kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penghayatan kedudukan Islam sekaligus berperanan mengekalkan perpaduan dan keharmonian dan bukan sebaliknya menjadi sumber pertentangan dan permusuhan akibat dari pegangan Islam secara jahil, sempit dan melampau.

Peranan Islam dalam membenteras pengurusan khianat dan tata-kelola tempang dalam tadbir-urus pemeritahan akan menjadi lebih menonjol.
Menangkis kemungkaran ekonomi dan maksiat tata-kelola kewangan adalah antara teras penghayatan Islam yang penting.

Tunggak budaya yang berteraskan nilai sejagat, menjulang kemuliaan ilmu, mendokong perkembangan bahasa serta menggalak pemuliharaan pelbagai cabang seni. Ini akan serentak  mengangkat jati diri bangsa, membina harmoni serentak menjadi teras positif hidup bermasayarakat rakyat Malaysia.

Manifesto Pakatan Harapan Rakyat dalam menentukan ‘Kesejahteraan Rakyat’ punya kelainan yang ketara sekaligus merupakan model ‘Ekonomi Rakyat’ agi sebuah Malaysia Baru yang lebih adil dan makmur.

Kewujudan jurang dan kesenjangan kaya-miskin adalah natijah buruk dari urus- tadbir pembangunan yang mendahulukan segelintir kroni sehingga mengepong kelancaran dan efisiensi pasaran dengan pelbagai amalan monopoli dan oligopoli dan perjanjian konsesi utilti yang menguntungkan serta memperkayakan kroni dan membebankan rakyatdengankos saraan hidup yang tinggi.

Berbeza degan cara UBN, Kesejahteraan Rakyat dalam misi Manifesto Pakatan adalah untuk meningkatkan ‘pendapatan dan pendapatan boleh berbelanja' dengan mengurangkan bebanan kos utama saraan hidup dalam bakul Indeks Harga Pengguna (CPI) serta  mengurangkan perbelanjaan rakyat di segi tanggungan kesihatan, pendidikan dan perumahan.

Pendekatan berteraskan ‘Income-Based’ jelas berbeza dengan fokas Ekuiti atau pegangan Saham (Equity-Based) yang menjadi matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB). Nyata dalam pacuan 30% ekuiti bumiputera yang telah memasukki dekad ke-5, bukan sahaja ia gagal dicapai tetapi telah memburukkan kesejangan pendapatan dan kekayaan (Income and Wealth disparity) khususnya dalam etnik Melayu-Bumiputera itu sendiri. Lebih malang lagi atas nama DEB, ia telah dipesalahgunakan untuk memperkayakan segelintir kroni Melayu ketika mengkesampingkan etnik Melayu teramai.

Pendekatan Kesejahteraan Rakyat dalam Manifesto Pakatan bakal menyaksikan bagaimana keseluruhan tawaran penurunan harga petrol dan diesel, tariff air dan elektrik, dengan kaedah penstrukturan semula ekonomi termasuk pencukaian dan mendayakan subsidi ‘progresif’ yang bertepatan dengan sasaran rakyat yang memerlukan.

Serentak manifesto mewawarkan penamatan subsidi ‘regresif’ yang bersifat ‘borong’ atau ‘blanket’ yang tidak menguntungkan sasaran rakyat golongan berpendapatan rendah khasnya golongan nelayan, petani, golongan kelainan upaya dan golongan terpinggir seperti etnik India di estate-estate.

Keseluruhan tawaran manifesto Pakatan kerap diserang seteru dan medianya, bakal memufliskan Negara. Wajar ditegaskan bahawa keseluruhan tawaran-tawaran manifesto telah dihitung dan dijumlah dengananggaran aliran tunai atau ‘cashflownya’.

Ini berbeza dengan tadbir urus UBN yang menggurus pembangunan dan perolehan secara tidak telus (opaque) dengancara runding-langsung seperti pemberian kontrak infrastrukur mega dalam penswastaan.

Kos pembangunan semua menggelembong (bloated) termasuk dengan tanggungan ‘cost-overruns’.Contoh khusus adalah MRT dan terkini kos Keretapi Laju (HSR) yang pertama-tama disebut  dengan RM8 bilion kini telah melambong kepada RM80 bilion.

Kerajaan Pakatan Rakyat telah buktikan bahawa kita telah membuat penjimatan sebanyak 20-25 % berbanding UBN apabila dikelolakan dengan pengurusan yang baik seperti di negeri Selangor.

Oleh kerana itu meskipun seluruh tawaran Manifesto Pakatan berjumlah besarRM45.75 bilion, kami yakin untuk menjana RM49.5 bilion dalam 3 kaedah utama yakni:

1. Penjimatan melalui tadbir-urus yang berkesan dan bebas rasuah- ketirisan

2. Menyusukan kembali keutamaan bagi mengelak perbelanjaan mengakayak krooni dan

3.hasil dari penjanaan pertumbuhan hasil galakan perbelanjaan oleh rakyat (domestik) dan kerancakan sektor swasta yang tidak terkepong dengan pelbagai kekangan yang mengherotkan pasaran dan persaingan yang dari pihak GLCs sendiri. Sekaligus ia menjana kerancakan Pelaburan luar (FDI) dan dalaman (DDI).

Sasaran RM4000 bagi seisi rumah akan tetap menjadi cita-cita kerajaan Pakatan Rakyat bagi membuktikan bahawa mendayakan rakyat bukanlah satu utopia seperti dituduh. Pendekatan kami mengurangkan kos saran hidup dan mengizinkan pendapatan meningkat adalah jauh lebih ‘superior’ dan berkesan daripada ‘menampal koyok’ atau ‘band-aid’ yang bermusim dengan pemberian BRIM yang bersifat ‘one-off’.

Andainya kami berhasil mencapai 50% dalam penggal pertama parlimen setelah kami mengambil alih Putrajaya maka ia satu prestasi yang baik. Andainya kami berjaya mencapai 75% pencapaian maka ia satu yang cemerlang. 30% ekuiti bumiputera telah memasukki dekad ke-5  dan RM52 bilion pegangan saham Melayu-Bumiputera telah hangus dan kembali kepada paras RM2 bilion. Persoalannya ialah Melayu-Bumiputera mana yang memegang ekuiti ini bagi pihak Melayu-Bumiputera teramai?

Sayugia diingatkan bahawa pendekatan penstrukturan ekonomi, termasuk percukaian dan subsidi adalah dasar fiskal yang penting dan tentunya punya impak kepada pendapatan dan perbelanjaan kerajaan. Namun suka juga dingatkan kepada pengkritik kami bahawa kehilangan pendapatan cukai contohnya RM3.5b (kalau 50% penurunan cukai eksasi), kini akan beralih kepada tangan dan saku rakyat yang sekaligus meningkatkan ‘pendapatan boleh berbelanja’ mereka.

Perbelanjaan isirumah (domestik)akan meningkatkan permintaan barangan dan perkhidmatan sekaligus meningkatkan faktor Perbelanjaan (Consumption) dalam KDNK. Begitu juga seterusnya apa jua pengurangan kos kepada rakyat (tariff air, elektrik, kesihatan, pendidikan) meningkatkan keupayaan pendapatan serta kuasa berbelanja-membeli mereka.

‘Pakatan Harapan Rakyat’ adalah tawaran Pakatan Rakyat bagi menamatkan pelbagai kebejatan pengurusan tempang dan khianat UBN. Manifesto ini bercita-cita bukan sahaja menambaik baik Negara ini bahkan menampilkan satu formula satu impian yang lama tertangguh bagi membina sebuah Malaysia Baru yang lebih adil, berdaya-saing dan berkebajikan untuk semua rakyat.

* Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen dan Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS.

Tiada ulasan: