Khamis, 7 Mac 2013

Malaysia akan minta Filipina serah 'Sultan Sulu'

SINAR HARIAN

Sabah diceroboh
Sabah diceroboh
 
KUALA LUMPUR - Malaysia dan Filipina akan memikirkan jalan terbaik berhubung sebarang tindakan undang-undang terhadap anggota kumpulan penceroboh bersenjata termasuk ketua mereka di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, aspek ekstradisi ketua kumpulan itu, Jamalul Kiram III yang mengaku sebagai Sultan Sulu, yang kini berada di
Filipina telah diajukan kepada rakan sejawatnya dari Filipina.

"Ketua mereka telah memberi kenyataan yang membangkitkan kemarahan dan kebencian. Apakah Filipina mempunyai undang-undang untuk mengheret dia ke
mahkamah untuk tindakan sewajarnya.

"Sekiranya tidak, kemungkinan Malaysia akan meminta supaya pihak Filipina menyerahkan dia kepada kita," katanya dalam program Soal Jawab terbitan TV3 yang
dihoskan oleh Datuk Ahmad A. Talib, malam tadi.

Beliau turut ditanya sama ada Malaysia akan memohon ekstradisi Jamalul Kiram III. Pencerobohan bermula 12 Februari itu mengorbankan lapan anggota polis Malaysia
dalam usaha mengusir mereka dari Sabah.

Sambil menarik perhatian Malaysia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Filipina, beliau berkata: "Oleh kerana semangat Asean, kita boleh minta ekstradisi meminta supaya mereka dibawa ke mari."

Beliau memperjelaskan bahawa sebarang tindakan undang-undang yang diambil akan berlandaskan kepada apa yang sesuai dan baik untuk pihak Malaysia dan Filipina.

"Opsyen kita terbuka sampai kita melangkah ke satu (tahap), dan kita membuat keputusan dan mengadakan perbincangan dengan pihak Filipina," katanya.

Beliau turut ditanya mengenai tindakan terhadap mana-mana penceroboh yang ditangkap -- sama ada akan didakwa di Malaysia atau dihantar pulang ke negara
mereka.

"Ini tertakluk kepada perbincangan kita. Presiden (Filipina) meminta mereka menyerah diri dan balik ke negara mereka, dan Filipina berjanji akan ambil tindakan yang sewajarnya mengikut undang-undang mereka.

"Cara kita, (jika) polis kita menahan (mereka), kita juga boleh menggunakan undang-undang kita. Jika ia berlaku, bolehlah perundingan dijalankan antara saya dengan Setiausaha Luar Filipina, cara mana yang terbaik," jelasnya. - Bernama

Tiada ulasan: