Selepas didedahkan PKR semalam, sekumpulan aktivis NGO India terus membuat laporan polis terhadap anggota parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin atas dakwaan menghina agama Hindu.

Setiausaha Agung Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas) S Baradidathan membuat laporan itu di Petaling Jaya tengah hari semalam.

NONEBaradidathan menyifatkan, kenyataan Zulkifli, yang rakaman videonya boleh ditonton di Youtube sebagai penghinaan amat besar dan hasutan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

"Kami memohon supaya siasatan dan tindakan terhadap yang berhormat ahli parlimen bebas Kulim-Bandar Baharu dimulakan dengan segera," laporan polis yang salinannya dihantar kepada pihak media itu dipetik.

Sementara itu, Mipas juga memberikan 48 jam, bermula semalam kepada Zulkifli untuk memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat Hindu atau bakal berdepan bantahan besar-besaran di seluruh negara.

Naib Presiden PKR N Surendran semalam mendesak Zulkifli yang juga naib presiden kumpulan pendesak Melayu PERKASA disiasat bawah Kanun Keseksaan ekoran kenyataannya itu.

Dalam video itu Zulkifli kelihatan seperti menyampaikan ceramah agama di surau dan menceritakan perbualannya dengan seorang penjual berhala Hindu berhampiran di Kuala Lumpur yang kedainya baru dilanda banjir.

Perbualan itu antaranya memuatkan persoalan sekitar kenapa tuhan di kedai itu tidak menahan air daripada memasuki kedainya itu.

Malaysiakini semalam cuba menghubungi Zulkifli bagi mendapat komennya tetapi tidak berjaya.