Rabu, 27 Mac 2013

Lengah-lengahkan kes Altantuya, Peguam Negara cuba lindungi Najib

Oleh Aisha Geoffrey

KUALA LUMPUR : Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail diingatkan agar tidak bersandiwara berhubung kenyataan kononnya akan mempertimbang untuk membuka semula kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata, berdasarkan pelbagai bukti dan kenyataan dari saksi, sepatutnya kes itu sudah lama disiasat dan dibuka semula.
crime-altantuya-shaariibuu
“Laporan dibuat sejak 2008. Kenapa sehingga hari ini tiada siasatan sedangkan Gani ada kuasa penuh untuk mengarahkan kes itu disiasat dan dibuka semula,” kata Surendran kepada Keadilan Daily.

Semalam, Gani berkata kononnya Pejabat Peguam Negara akan mempertimbang cadangan Majlis Peguam untuk membuka semula kes pembunuhan yang berlaku pada 19 Oktober 2006 itu.

Cadangan Majlis Peguam itu susulan kenyataan peguam mendiang P Balasubramaniam, Americk Singh Sidhu bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan peguam kanan, Tan Sri Cecil Abraham untuk membuat pengakuan berkanun kedua Bala bagi mengubah kenyataan asal.

Justeru badan itu juga mencadangkan supaya Cecil dirujuk ke Lembaga Disiplin Peguambela dan Peguamcara atas dakwaan salah laku profesional.

“Kes Altantuya melibatkan tempoh bertahun-tahun untuk disiasat. Lain pula bila melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat, contohnya kes Tian Chua, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semuanya mendapat arahan untuk disiasat dan mula kes dengan cepat,” kata Surendran.

“Gani berlengah-lengah buka kes ini kerana cuba melindungi Najib. Tiada lagi keyakinan terhadap Peguam Negara mahupun polis kerana mereka diperalatkan Umno. Beliau  juga tidak patut mengeluarkan kenyataan seperti itu,” bidasnya.

Bala pada Julai 2008, membuat akuan bersumpah mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan Altantuya. Bagaimanapun, Bala menarik balik SD tersebut dengan membuat SD kedua sehari selepas mendedahkan SD pertama.

Penyiasat persendirian yang pernah berkhidmat dengan Abdul Razak Baginda itu kemudian menghilangkan diri selepas mendakwa menerima ancaman.

Bala pulang ke tanahair 24 Februari lalu, dan kemudian nekad untuk menjelajah negara bagi mendedahkan skandal berkenaan.

Bagaimanapun, hasratnya tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia 15 Mac lalu akibat serangan jantung. – NS

Tiada ulasan: