Isnin, 25 Mac 2013

Kit Siang guna lambang PAS, Umno hilang modal sentimen perkauman

Ruqayya Rahman

JOHOR BHARU : Pimpinan Umno BN kehilangan satu-satunya modal politik mereka iaitu memainkan sentimen perkauman apabila Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang secara terbuka menyatakan kesediaan menggunakan lambang PAS pada PRU 13.

“Umno cuba pecah belahkan Pakatan Rakyat dengan isu perkauman tapi bayangkan jika Lim Kit Siang bertanding dengan lambang PAS. Kita mahu tengok apa lagi hujah Umno untuk dimainkan. Umno hendak cakap apa lagi?

“Kalau pilih (lambang) KEADILAN, ini biasa sebab KEADILAN parti berbilang kaum tapi pemilihan guna lambang PAS pasti beri kesan luar biasa,” kata Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

IMG_5728

Beliau berkata demikian dengan disambut tepukan gemuruh hampir 10,000 penduduk tempatan pada Jelajah Merdeka Rakyat di Kampung Melayu Majidee di sini, malam tadi.

Kit Siang mungkin perlu menggunakan lambang parti lain dan memilih PAS jika Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatal pendaftaran DAP sekaligus menghalang parti itu bertanding PRU 13.

ROS menerima tekanan pemimpin BN untuk membatal pendaftaran DAP berikutan parti itu mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) akibat kesilapan pengiraan undi.

Saifudin turut menyelar tindakan ROS yang langsung tidak mengambil  tindakan terhadap Umno Kelantan berikutan tidak pernah mendaftar mengikut Akta Pertubuhan sejak 1987.

“Hampir 90 peratus ranting dan cawangan Umno Kelantan tidak pernah didaftar selepas diharamkan pada 1987 tapi tiada tindakan dari ROS kerana Umno parti pemerintah,”  kata Ahli Parlimen Machang itu.(FZL)

Tiada ulasan: