Sabtu, 9 Mac 2013

Kerajaan Negeri Sumbang RM 20,000 Kepada Keluarga Polis Yang Terkorban Di Sabah


exco melawat keluarga azrul tukiran 03

KLANG : Kerajaan Negeri Selangor hari ini menyerahkan sumbangan sejumlah RM20,000 kepada keluarga Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran, 27, yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Sumbangan itu diserahkan Kerajaan Negeri dengan diwakili Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail dan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

exco melawat keluarga azrul tukiran 02

Turut serta Speaker Dewan Negeri, Datuk Teng Chang Khim dan MP Batu, Tian Chua.

Bantuan tersebut adalah peruntukan daripada Tabung Wira Rakyat Selangor berjumlah RM 10 juta yang diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membantu ahli keluarga anggota keselamatan yang terkorban semasa mempertahankan negara.

Dalam pertemuan yang diadakan di kediaman keluarga Mohd Azrul di Jalan Telok Kapas, Kampung Rantau Panjang, Rodziah turut membaca amanat Menteri Besar sebagai tanda takziah terhadap keluarga Mohd Azrul.

Rodziah ketika ditemui berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh ahli keluarga anggota keselamatan yang terkorban khususnya untuk mereka yang mempunyai anak kecil.

exco melawat keluarga azrul tukiran 01

Katanya, sumbangan itu tidak akan terhenti begitu sahaja, sebaliknya akan dilaksanakan secara berterusan terhadap mana-mana ahli keluarga parajurit negara yang memerlukan bantuan dan sokongan.

“Apabila Kerajaan Negeri mengumumkan Tabung Wira Rakyat Selangor untuk membantu anggota yang terkorban, kita mengambil pendekatan untuk terus turun padang dan menyerahkannya sendiri kepada keluarga mereka.

“Tabung ini akan dimanfaatkan untuk ahli keluarga parajurit sehingga kita yakin mereka telah lepas daripada kesusahan akibat mata pencarian itu telah tiada atau terkorban semasa mempertahankan negara,” katanya.

exco melawat keluarga azrul tukiran 04

Sementara itu, Tukiran Ahamad, 67, yang merupakan bapa kepada Mohd Azrul melahirkan kesyukuran atas bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri.

Menurutnya, walaupun nyawa anaknya tidak boleh dicari ganti, namun beliau tetap berbangga dengan usaha murni anaknya yang berjuang sehingga ke titisan darah terakhir dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Saya sekeluarga masih berduka atas kehilangan anak saya. Tetapi ketentuan Allah itu tidak boleh ditolak.

“Namun, saya terharu dengan kunjungan barisan Exco dan para pemimpin lain yang tidak putus-putus menziarahi kami sekeluarga,” luahnya.

Mohd Azrul, 27, atau lebih mesra dipanggil Ayon oleh keluarganya, antara anggota polis yang terkorban dalam kejadian serangan hendap sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah.

Anak ke enam daripada tujuh adik beradik itu mula menyertai Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau pada 2006.

Jenazah Azrul selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang, Klang, 4 Mac lalu.

Selain Azrul, turut terkorban ialah Supritendan Ibrahim Lebar, 52, dari Cawangan Khas Bukit Aman, Sarjan Abdul Azis Sakirun, 48, (Batalion 14 PGA) Koperal Salam Togiran, 42, (Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau).

Turut terkorban Asisten Supritendan Michael Padel, 36 (Ketua Cawangan Khas Polis Daerah Semporna), Sarjan Baharin Hamid, 49, (Kontinjen Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah).

Tiada ulasan: