Jumaat, 15 Mac 2013

Kenyataan TPM Berunsur Fitnah Dan Hasutan Melampau

 Editor BULETIN

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita17/Ust%20Riduan.jpgDewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengambil tindakan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia kerana melemparkan fitnah terhadap Pakatan Rakyat (PR) dengan tuduhan PR berusaha menggagalkan pilihanraya umum ke 13 dengan mewujudkan keadaan porak peranda.

DPPM menganggap tuduhan TPM terlalu berat dan fitnah serta berunsur hasutan bagi menimbulkan ketegangan serta kegelisahan dalam masyarakat. Sebagai pemimpin nombor dua negara, kenyataan beliau boleh mencetuskan suasana panik dan penafsiran yang pelbagai dari kalangan masyarakat.

Apakah TPM tidak berfikir dahulu sebelum bercakap dengan memikirkan implikasi yang mungkin akan diterima terhadap masyarakat khususnya pemimpin Pakatan Rakyat daripada ucapan beliau? Apa akan jadi sekiranya masyarakat negara ini benar-benar mempercayai kenyataan beliau dan akan terus mengambil langkah negatif terhadap PR seperti membuat provokasi atau tindakan-tindakan ganas yang lain? Apakah tidak mungkin terjadi kenyataan beliau menyebabkan rakyat menjadi semakin takut untuk menghadapi pilihanraya serta tidak mahu turun mengundi kerana takutkan sesuatu yang bakal terjadi?

Dalam keadaan negara sedang diancam dengan masalah keganasan serta pencerobohan di Lahad Datu dan Sabah umumnya, TPM sengaja menambah marakkan lagi api permusuhan sesama rakyat serta sindrom ketakutan kepada rakyat.  Beliau sepatutnya berusaha mententeramkan rakyat serta memberi dorongan supaya rakyat dapat bersama-sama menyuburkan demokrasi di negara ini. Pilihanraya adalah suatu proses yang mesti disertai oleh semua rakyat dan ia pula melibatkan parti-parti politik yang bertanding bagi menentukan kepimpinan negara. Kenyataan beliau akan memberi reputasi yang buruk ke atas PR dan pemimpinnya dan menjadi kempen buruk terhadap PR serta penyokongnya. Beliau juga telah menghina jutaan rakyat negara ini untuk memilih pemimpin dan parti politik pilihan mereka dengan kenyataan sedemikian.

Sekiranya benar beliau mendapat maklumat tersebut melalui dokumen yang dipercayainya seperti dakwaannya, DPPM mencabar TPM untuk mendedahkan butiran dokumen tersebut. Sekiranya beliau gagal mengemukakan bukti bahawa ada usaha PR untuk mencetuskan suasana porak peranda DPPM tidak teragak-agak untuk mendesak pemimpin PR mengemukakan saman fitnah terhadap beliau.

Tiada ulasan: