Khamis, 21 Mac 2013

' Kami sedia perang dengan Anwar di Selangor'


NURULFATIHA MUAH

Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed
Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed
 
SHAH ALAM – Pengumuman Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau akan bertanding kerusi Parlimen sama ada di Selangor atau Perak tidak akan menggugat Barisan Nasional (BN) meneruskan perjuangan merampas Selangor.

Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed berkata, pihaknya mendapat sokongan penuh daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengarah Pilihan Raya BN Selangor untuk mencapai matlamat mereka itu.

“Soal sama ada ia menggugat (BN) atau tidak, ia tidak timbul kerana kita ada di bawah naungan Perdana Menteri yang mengurus pilihan raya di Selangor,” katanya ketika diminta mengulas berhubung pengumuman Anwar yang tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Mohd Zin berkata, pihaknya tiada masalah jika Anwar mahu bertanding kerusi Parlimen di Selangor dan BN sentiasa bersiap sedia untuk ‘berperang’ dengan Ketua Umum PKR itu.

“Itu hak Anwar mahu bertanding di mana. Kita sedia berdepan dengan beliau di mana saja dia bertanding,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha MCA Selangor, Wong Koon Mun mendakwa, pengumuman dibuat Anwar itu disifatkan hanyalah taktik pakatan pembangkang semata-mata memandangkan kebanyakan pemimpin mereka dilihat sering berpindah kawasan.

Beliau mendakwa, ia dilakukan bagi ‘menutup’ kesilapan sendiri yang jarang turun kawasan dan menjaga keperluan rakyat di sana, selepas memenangi kerusi tersebut.

“Sebab itu beliau (Anwar) pilih kawasan baru untuk mendapatkan imej baru. Kalau beliau teruskan juga bertanding di kawasan berkenaan, beliau akan kalah kerana rakyat sudah tidak lagi menyokongnya.

“Seperti juga yang berlaku pada Lim Kit Siang (Penasihat DAP) yang pergi ke tempat baru. Ia bukan perkara baru dan ini memang cara politik mereka,” katanya.

Tiada ulasan: