Sabtu, 30 Mac 2013

Jika DAP boleh haram, kenapa tidak Umno

Harakahdaily,



KUALA LUMPUR: Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang mungkin menimbangkan untuk membatal pendaftaran DAP digesa mengkaji juga dakwaan wujudnya ribuan cawangan Umno yang tidak berdaftar di seluruh negara.

Cawangan itu dikatakan tidak didaftar selepas penubuhan Umno Baru oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1988.

Demikian kata Tarmizi Mohd Jam, Koordinator Bloggers Revolusi13 dalam satu majlis baru-baru ini.

Menurut Tarmizi, selepas pengharaman Umno ekoran pertembungan antara Tun Dr Mahathir dengan Tengku Razaleigh Hamzah, semua pendaftaran peringkat pusat, bahagian dan cawangan Umno lama secara automatik terbatal.

Bagaimanapun terdapat kecenderungan ROS untuk menyembunyi dan melindungi perkara ini daripada pengetahuan awam.

Sebaik Umno Baru ditubuh, proses penajaan dan penubuhan harus dibuat semula, tetapi banyak peringkat cawangan dan bahagian tidak mendaftar semula organisasi mereka tanpa disedari, ujar beliau.

Selain itu, banyak cawangan tidak menghantar dokumen tahunan mengikut peruntukan Akta Pertubuhan 1966.

Mengulas isu ini, Chegu Bard atau Badrul Hisham Shahrin berkata, dalam sistem perwakilan, mana-mana cawangan Umno yang tidak sah menghantar perwakilan ke bahagian, maka bahagian itu secara automatik akan bersifat haram, dan bahagian yang menghantar perwakilan ke Perhimpunan Agung akan turut menyebabkan ia juga haram.

Hal itu, katanya, terdedah pada 2008 dalam Umno Bahagian Tanah Merah, Kelantan selepas ahli yang mahu bertanding jawatan didapati tidak membayar yuran dan berasal daripada cawangan haram.

Ia telah dibawa ke mahkamah. Melalui proses mahkamah, dibuktikan ada 126 cawangan Umno di Tanah Merah tidak berdaftar dan dibatalkan pendaftarannya selaras dengan Seksyen 12(6) Akta Pertubuhan 1966. Ini diakui Setiausaha Agung Umno dan ROS.

Chegu Bard berkata, carian di Pejabat ROS menunjukkan lebih separuh daripada 2,181 cawangan Umno di Kelantan, dipercayai berstatus haram.

Malah kini, carian awam berkenaan status cawangan dan bahagian Umno di seluruh negara sudah tidak boleh dibuat di Pejabat ROS negeri, sebaliknya diminta mendapatkan maklumat berkenaan di Ibu Pejabat ROS di Putrajaya.

"Ini menimbulkan tandatanya. Sepatutnya carian mendapatkan salinan dokumen ikut Seksyen 10(1) Akta Pertubuhan 1966 boleh dibuat di negeri kecuali ada kes jenayah, atau apa-apa kes baru dirujuk ke Putrajaya," kata beliau.

Mereka bercadang untuk mengadakan Sidang Media dan Ikrar Khas Bloggers / Facebookers Haramkan Umno Ahad ini lanjutan kepada sidang khas berkenaan.

Ia akan diadakan jam 10 pagi di Dewan Himpunan Cina Selangor/Kuala Lumpur (KLCAH).

Kali ini semua media cetak dan media baharu dijemput untuk diberi taklimat dan melaporkan tentang isu "Umno Haram" disamping diperkukuhkan dengan ikrar para bloggers dan facebookers untuk menggerakkan kempen dan mendedahkan kepincangan Umno dalam mendaftarkan cawangan dan bahagian parti itu di seluruh negara sehingga menyalahi undang-undang ROS, kata Tarmizi dalam satu kenyataannya.

Tiada ulasan: