Rabu, 27 Mac 2013

Hisham menyokong politik ganas, kata Pakatan

Oleh Syed Jaymal Zahiid

PETALING JAYA — Kata-kata Datuk Seri Hishamuddin Hussein menjangkakan terdapat lebih banyak gangguan dalam ceramah pembangkang menunjukkan beliau menyokong politik ganas, dakwa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) hari ini. 
 
PR berkata, menteri dalam negeri tersebut telah gagal memberi jaminan untuk melindungi mereka, dan menjangka akan berlaku lebih banyak keganasan politik sebelum dan semasa Pilihan Raya 2013.

"Politik fitnah dan keganasan kini semakin meningkat dan pimpinan PR menyedari ini," kata Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan parti di ibu pejabat PKR hari ini.

Anwar, pemimpin de facto PKR berkata, partinya kini bersiap sedia melancarkan kempen pilihan raya ke seluruh negara.

Bercakap pada sidang media yang sama, penasihat DAP Lim Kit Siang mengkritik kenyataan Hishamuddin (gambar) dan mengatakan naib presiden Umno itu tidak layak menjadi menteri yang menjaga keselamatan dalam negeri.

"Ini bakal menjadi pilihan raya paling kotor. Perkara ini mesti dihentikan, atau kita akan jadi bahan ketawa di seluruh dunia," kata Lim. 
 
Ahli parlimen Ipoh Timur itu berkata Hishamuddin juga secara tidak langsung menyokong keganasan ke atas pembangkang dengan membiarkan kebencian penyokongnya dalam ucapannya Ahad lalu.

Pekerja parti menjerit "Bunuh Tian Chua" apabila naib presiden Umno itu menyeru untuk menyokong Barisan Nasional dan "hapuskan pengkhianat" seperti naib presiden PKR Chua Tian Chang, dikenali sebagai Tian Chua, yang dikaitkan kenyataannya mengenai pencerobohan puak bersenjata Sulu di Sabah.

Hishamuddin mengakui semalam keganasan politik semakin teruk, tetapi menuduh PR dengan mencetuskan kebencian ke atas kerajaan dan polis.

Beliau juga berkata lebih banyak insiden bakal berlaku semasa tempoh berkempen dalam Pilihan Raya 2013, yang dijangka berlangsung dalam beberapa minggu lagi, berikutan kekurangan anggota polis.

Kenyataannya mencetus kritikan dari kumpulan menuntut reformasi pilihan raya, Bersih 2.0 yang menyeru menteri itu mengawal penyokong Umno dari mengugut atau akan disenaraihitamkan sebagai menyokong politik ganas.

Timbalan presiden PAS Mohamad Sabu turut menyokong pandangan Lim bahawa Hishamuddin sebagai menteri harus tidak berat sebelah dalam menentang keganasan politik.

"Tetapi beliau berkata kita seharusnya menjangkakan lebih banyak keganasan," katanya lagi.

Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, bersama pemimpin BN menandatangani Akujanji Integriti Pilihan Raya Transparency International-Malaysia bulan lalu dalam usaha yang menurut mereka sebagai serius dalam berlaku adil dalam pilihan raya akan datang.

Tetapi Najib dan rakannya dikritik kerana berdiam diri dalam siri serangan ke atas pembangkang, yang didakwa dicetuskan penyokong BN atau penyokong kumpulan sayap kanan yang dikaitkan dengan Umno.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diserang dengan batu dan paku di Johor September lalu.

Satu lagi insiden di Pahang bulan lalu, anak perempuan Anwar, Nurul Izzah hampir diserang secara fizikal oleh penyokong Umno, walaupun penyokongnya berjaya menghalangnya, naib presiden PKR itu berterusan diserang dengan kata-kata berbaur kebencian.

Pada 12 Mac, beberapa yang disyaki penyokong Umno menyerang ganas ke atas pembangkang, termasuk mengugut untuk membakar ibu pejabat PKR di Petaling Jaya selepas pimpinan parti menuduh diserang oleh penyokong BN di Melaka.

Mereka membaling batu, kayu dan kon trafik ke bangunan PKR, dan membakar bendera parti tersebut, dimana insiden tersebut di jaga oleh polis. Bagaimanapun, tiada tindakan diambil.

Tiada ulasan: