Selasa, 19 Mac 2013

DAP tegas mahu dakwa pemimpin rasuah, salah guna kuasa

Roketkini.com



SKUDAI: DAP mengulangi tekad memerangi rasuah dan salah guna kuasa habis-habisan jika Pakatan Rakyat (PR) diberi mandat mentadbir Putrajaya pada Pilihyan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh menegaskan bahawa tidak ada siapa yang boleh terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang jika terbabit melakukan rasuah dan salah guna kuasa.

“Apa natijah kepada pemimpin BN yang menipu, mencuri wang rakyat. Mana boleh lari,” katanya berucap sempena sambutan ulangtahun DAP ke-47, di sini, malam tadi.

Pada masa sama Karpal turut menyindir bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga tidak boleh lari jika berlaku peralihan kuasa seolah-olah mengakui kesalahan yang dilakukan.

“Kawan-kawan kita mahu kalau ada bukti terhadap Dr Mahathir, kita akan dakwa dia.



“Dalam masa 22 tahun Mahathir memerintah, beliau melakukan menyalahgunaan kuasa. Kini rasuah, salah guna kuasa berlaku di mana-mana termasuk di jabatan kerajaan,” kata beliau.

Beliau turut mengimbau kembali bagaimana kuasa disalahguna dalam Operasi Lalang pada 1987 yang memperlihatkan ramai pimpinan oposisi menjadi mangsa tahanan ISA.

Justeru itu, Karpal berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan PR membanteras rasuah dan salah guna kuasa demi mengembalikan maruah rakyat dan negara.

Untuk menjayakan hasrat itu, Karpal menyeru agar PR bukan saja meletakkan sasaran menawan 15 kerusi tetapi menawan sebanyak mungkin kerusi Parlimen yang ada di Johor dan negeri lain.-Roketkini.com

Tiada ulasan: