Rabu, 6 Mac 2013

‘Bukan serang orang Sulu tapi berperang dengan orang bersenjata’

Fazallah Pit

KUALA LUMPUR: Serangan ketenteraan terhadap penceroboh di Lahad Datu, Sabah bukan bermakna Malaysia menyerang orang Sulu, sebaliknya berperang dengan orang bersenjata.

Bercakap dengan nada seorang negarawan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tindakan ketenteraan yang tegas dan keras – bagaimanapun – perlu berikutan pencerobohan ke atas wilayah negara.

_MG_9311

“Saya lihat, sebahagian kita agak keliru, kita serang orang Sulu. Kita bukan perang dengan orang Sulu. Kita berperang dengan orang bersenjata.

“Mereka hadir (ceroboh) dan cuba serang kawasan kita. Oleh demikian kita harus tegas dan keras menghadapi orang bersenjata,” katanya pada sidang media di Lake Club, petang semalam.

Ketua Umum KEADILAN itu juga menunjukkan reaksi gembira berikutan penglibatan pasukan keselamatan tampak berjaya walaupun pihaknya tiada maklumat terperinci.

“Ia selaras dengan syor kita semalam kepada kerajaan – Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri supaya beri bantuan kepada pasukan polis.

“Anggap gerombolan bersenjata sebagai bahaya dan selagi tak diselesai, (ia) menimbul keresahan kepada penduduk. Kita doakan mudah-mudahan pemantauan itu berterusan,” katanya.

Pakatan Rakyat sebelum ini menyatakan keyakinan terhadap kecekapan pasukan keselamatan dalam menjaga pertahanan negara dan berharap tiada campur tangan politik dalam menangani isu itu.

Anwar juga percaya, anggota keselamatan boleh menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan negara tanpa kekangan politik.

Untuk tonton rakaman video, KLIK INI.

Tiada ulasan: