Ahad, 17 Mac 2013

BN mesti baiki kesalahan parti

NORSHAHZURA MAT ZUKI
Tun Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir (dua, kanan) bersalaman dengan anak-anak Kedah pada Majlis Perhimpunan Anak Kedah sekitar Lembah Klang di Stadium Juara semalam. 
 
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN) mesti memperbetulkan kesalahan parti selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan satu perancangan perlu memperbaikinya dilaksanakan.

Beliau berkata, satu proses memperbaiki semula dan menangkis kelemahan yang ada pada Umno dan BN akan diusahakan.

“Kita terpaksa, kalau tidak saya yakin kita tidak boleh menang lagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Lama-kelamaan simpati orang akan hilang kalau kita ingat kepentingan diri bukan kepentingan agama, bangsa dan tanah air," katanya ketika berucap pada Himpunan Anak Kedah, di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini, semalam.

Beliau berkata, BN perlu diperbaiki dan ditransformasikan menjadi lebih baik.

Sementara itu, dalam ucapannya, Dr Mahathir berharap BN akan kembali mentadbir Kedah kerana setelah lima tahun dikuasai pembangkang Kedah tidak maju.

“Kedah boleh maju jika mendapat pemerintahan yang cekap dan tahu bagaimana memerintah, tetapi kini Kedah dapat sebuah kerajaan yang tidak tahu apa. Sebenarnya berada di bawah pemerintahan parti lain, kita sedang rancang untuk membangunkan negeri Kedah.

“Kita mahu wujudkan pembangunan di utara seperti industri minyak, penapisan minyak, saluran paip sampai ke Timur Songkla dan adakan kawasan industri getah serta industri pembuatan komponen pembuatan motokar, banyak lagi. Usahawan berminat majukan Kedah ialah Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary,” katanya.

Dr Mahathir berkata, satu undi boleh menukarkan kerajaan kerana undi salah satu kuasa yang boleh tentukan nasib pada masa depan.

Beliau juga mengingatkan pucuk pimpinan BN supaya memastikan parti mesti menang dan calon bertanding mesti menang.

Tiada ulasan: