Sabtu, 30 Mac 2013

Bagan Datoh: Sokongan Cina dari 30 ke 70 peratus

Muhammad Faizal,


BAGAN DATOH: PAS kawasan Bagan Datoh berkeyakinan dengan peningkatan sokongan pengundi bukan Melayu sebanyak 60 hingga 70 peratus akan memastikan Pakatan Rakyat dapat menawan kerusi Parlimen Bagan Datoh dan juga kedua-dua Dun iaitu Hutan Melintang dan Rungkup.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Misbahul Munir Masduki ketika ditemui memberitahu bukan sahaja peningkatan sokongan yang diberikan oleh kaum Cina tetapi sokongan turut diberikan oleh kaum India.

"Sokongan rakyat begitu baik sekali terutamanya pengundi bukan Melayu dari kaum Cina, kalau 2008 kita hanya mendapat sokongan 20 hingga 30 peratus tetapi sekarang telah melonjak sehingga 60 hingga 70 peratus dan ini sangat membanggakan.

"Masyarakat India begitu juga, saya yakin dlm pilihanraya akan datang selain kerusi parlimen kita akan dapat mengambil kedua-dua kerusi yang ada di dalam Perliman Bagan Datoh," kata beliau kepada Harakahdaily sewaktu program jelajah Negara Berkebajikan di parlimen tersebut.

Beliau yang juga merupakan Yang Di Pertua (YDP) PAS Kawasan Badan Datoh turut menjelaskan persiapan jentera PAS sudah berada pada tahap yang paling maksima dan hanya menanti pembubaran parlimen sahaja.

Misbah dijangka akan  menyertai pilihan raya umum akan datang ini buat kali ke empat di DUN Rungkup. Sehingga kini, Jabatan Pilihan raya PAS Perak mensasarkan Rungkup sebagai salah satu dari 18 DUN yang disasarkan untuk menang dalam pilihan raya kali ini.

Selain DUN, PAS menjangkakan akan menang di empat Parlimen dalam pilihan raya kali ini iaitu tambahan kepada dua Parlimen yang dimenangi dalam pilihan raya umum 2008 lalu.

Dalam pilihan raya ini, PAS menjangka akan bertanding 22 Dun dan dan tujuh Parlimen. PKR akan bertanding 19 Dun dan 10 Parlimen manakala DAP akan bertanding 18 Dun dan tujuh Parlimen di Perak.

"Kita sudah sampai ke peringkat paling kritikal dan bagi PAS kita berada pada persiapan yang paling maksima hanya menanti semboyan pilihanraya," katanya.

Menurutnya lagi,  PAS di peringkat kawasan memperkuatkan aktiviti dengan gerakan ziarah rumah ke rumah bagi bertemu pengundi.

Malah katanya lagi, sambutan yang diberikan oleh masyarakat Cina cukup baik.

"Kita jarang buat ceramah di markas-markas kerana kita tahu kalau buat di markas PAS yang hadir hanya ahli dan penyokong PAS sahaja.

"Kali ini kita lebih kepada gerakan ziarah rumah ke rumah bertemu pengundi, sambutan dengan pengundi cukup baik termasuk masyarakat Cina," jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, bagi masyarakat Cina tidak sukar untuk bersua muka dengan mereka, tetapi bagi kaum India agak sukar kerana mereka bekerja di estet dan tidak mempunyai masa, ada di antara mereka telah diugut, namun mereka tetap memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat.

"Walaupun sokongan Melayu meningkat sedikit sahaja tetapi sokongan bukan Melayu naik dengan mendadak.

"Bukan melayu bersedia untuk beri kemenangan kepada kita pada pilihanraya nanti," kata beliau lagi.

Beliau yang turut menyatakan tidak pernah timbul sebarang pergeseran dengan Barisan Nasional di Bagan Datoh dan jika timbul hanya melibatkan isu-isu kecil membabitkan bendera.

Katanya perkara tersebut diselesaikan melalui perbincangan dengan Ketua Kampung supaya menghormati demokrasi.

Tiada ulasan: