Rabu, 27 Mac 2013

Akhirnya Penduduk Kg Felda Bukit Cherakah Dapat Geran Tanah


MB geran tanah borang 5A bukit cherakah 03

KUALA SELANGOR : Di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor penantian puluhan tahun penduduk Kampung Felda Bukit Cherakah memiliki geran tanah akhirnya ditunaikan.

Penyerahan borang 5A kepada 281 penduduk itu disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di masjid kampung berkenaan di sini.
MB geran tanah borang 5A bukit cherakah 01
Seorang penduduk, Torman Basri, 64, nyata gembira apabila penantiannya lebih 22 tahun untuk memiliki hak milikan tanah akhirnya ditunaikan dalam tempoh singkat.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana akhirnya menunaikan hasrat saya untuk menerima hak milikan tanah ini setelah lebih 22 tahun mendiami kawasan ini.

“Kami penduduk kampung memohon lebih tiga kali untuk mendapat hak milikan tanah sejak kampung ini mula dimajukan. Tetapi hari ini ia tertunai. Malah harga premium yang ditawarkan juga berpatutan untuk dibayar oleh peneroka seperti kami,” katanya.
MB geran tanah borang 5A bukit cherakah 02
Perasaan sama turut dikongsi Faridah Hasbi Asari, 53, yang menyifatkan pemberian Borang 5A itu adalah bukti keprihatinan Kerajaan Negeri kepada rakyat.

“Saya sangat bersyukur dan lega kerana apa yang ditunggu akhirnya dapat juga. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Majlis Daerah Kuala Selangor yang bersusah payah membantu penduduk mendapatkan hak milikan tanah,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam ucapannya menegaskan Kerajaan Negeri sentiasa memastikan mana-mana penduduk yang layak diberikan hak milikan tanah untuk kediaman mereka.

Katanya, setelah diberikan borang 5A, penduduk hanya perlu membayar premium sejumlah RM1,000 bagi membolehkan mereka menerima geran.

“Saya harap semuanya dapat menyelesaikan pembayaran premium tersebut. Kalau betul tidak boleh bayar, kita akan minta mereka kerja dan beri tempoh selama dua bulan untuk mereka bayar. Ini adalah tanah untuk generasi kita akan datang,” katanya.

Borang 5A adalah surat tawaran memiliki tanah dari Kerajaan Negeri kepada seseorang individu.

Borang tersebut juga diangap sebagai pengesahan pemilikan tanah oleh seseorang individu dengan bayaran premium RM1,000 sahaja.

Ketika di era Umno-BN mentadbir, penerima borang 5A dikehendaki membayar premium sekurang-kurangnya 20 peratus dari nilai tanah menyebabkan terdapat penerima tawaran dikalangan berpendapatan rendah terpaksa menolak kerana tidak mampu membayar premium yang tinggi.

Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Noraini Roslan dan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohamad Yazid Bidin.

Tiada ulasan: