Ahad, 24 Mac 2013

Adun ‘lompat’ mahu bertanding lagi

 
KL TODAY

Adun Bebas kawasan Changkat Jering, Kapten (B) Mohd Osman Jailu berkata, beliau akan bertanding dalam PRU 13 mempertahankan kerusi itu jika mempunyai peluang untuk menang.Berikutan itu, bekas Adun PKR  itu memberitahu beliau belum membuat keputusan sama ada bertanding sekali lagi atau tidak.

Bagaimanapun, Osman (gambar) yang menang kerusi Changkat Jering atas tiket PKR pada pilihan raya umum 2008, mendakwa beliau mendapat sokongan dari pengundi supaya mempertahankan kerusi tersebut.

“Saya menghargai sokongan mereka tetapi untuk bertanding bukan mudah, perlu mengambilkira banyak faktor seperti jentera pilihan raya.

“Apatah lagi sebagai calon Bebas, ia tidak sama dengan mewakili parti tetapi saya berhenti dari PKR sebagai hero, bukan orang kalah,” beliau menambah.

Osman meninggalkan PKR pada awal 2009 bersama Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi Adun Jelapang, Hee Yit Foong meninggalkan DAP membolehkan Barisan Nasional mengambialih kerajaan Perak dari Pakatan Rakyat.

Barisan Nasional belum mengumumkan calon untuk Changkat Jering tetapi PAS telah menamakan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohamed Nizar Jamaluddin sebagai calon kerusi tersebut.

Ketua Umno Bukit Gantang, Datuk Rosli Husin memberitahu, beliau juga tidak tahu siapa calon BN bagi kerusi tersebut.


“Saya hendak tengok siapa calon BN (Umno) dulu, jika beliau boleh menang saya tidak bertanding dan memberi sokongan kepada calon tersebut.

“Tetapi jika 50-50, saya akan bertanding, ” kata Osman.



Mengenai trend sokongan pengundi di Changkat Jering serta Bukit Gantang , Osman berkata, orang Cina masih menyokong calon Pakatan Rakyat.

Katanya, trend ini sama seperti pilihan raya umum 2008.

“Waktu itu orang Cina yang memakai baju BN dan duduk di pondok panas parti itu, tetapi menyokong calon Pakatan Rakyat.

“Mereka datang kepada saya dan berkata, “Jangan bimbang kapten, saya undi kapten,” beritahu Osman.
Katanya, buat masa ini beliau tidak mahu menyertai mana-mana parti politik kerana menurutnya menjadi wakil rakyat Bebas ada juga keseronokannya.

“Kalau bantuan kerajaan, saya boleh menyalurkan terus rakyat tidak perlu melalui ahli dan penyokong parti,” tambahnya lagi.

Adakah Osman akan menyertai Umno?

“Saya telah keluar dari Pakatan Rakyat dan kini saya lebih cenderung kepada Umno, dia (Umno) banyak membantu saya di sini (Changkat Jering).

“Saya akan buat keputusan selepas pilihan raya kerana saya tidak boleh Bebas selama-lamanya,” katanya.

Tiada ulasan: