Sabtu, 23 Februari 2013

'Trak ini akan bawa kita ke Putrajaya'

Muhammad Faeez Azahar,


IPOH: “Trak Negara Berkebajikan ini akan bawa kita menuju ke Putrajaya”, kata Mantan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ir Nizar Jamaluddin ketika berucap di atas trak Negara Berkebajikan yang singgah di Kg Manjoi, Ipoh semalam.

Menurutnya, trak tersebut akan membawa kemaraan rakyat untuk meneruskan gelombang perubahan dalam PRU13 nanti.

Nizar berkata, pendekatan baru PAS ini menjadi igauan ngeri kepada BN yang semakin tidak tentu arah untuk menarik sokongan rakyat bagi mempertahankan kuasa mereka.

“Ini akan menjadi satu cara untuk PAS bergerak ke seluruh negara bagi memberikan maklumat kepada rakyat berdepan PRU13 nanti,” katanya dalam ucapan ringkas.

Kehadiran trak tersebut menjadi tarikan ratusan masyarakat khususnya penduduk setempat di Manjoi yang menunggu lama untuk melihat lebih dekat walaupun hujan turun dengan lebat.

Ternyata kehadiran trak itu memberi impak positif kepada rakyat yang melihat pendekatan tersebut menggambarkan PAS bersedia dan mampu mentadbir Negara.

Ini adalah singgahan sulung trak sebelum meneruskan perjalanan ke Kedah untuk menjalankan program-program yang telah dijadualkan.

Turut bersama ialah AJK PAS Pusat, Asmuni Awi, Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, Setiausaha Pemuda PAS Perak, Salman Saleh serta penolongnya Safarizal Saleh.

Tiada ulasan: