Sabtu, 16 Februari 2013

Rayuan kes liwat Anwar-Saiful Julai ini

MALAYSIA CHRONICLE


PUTRAJAYA - Pendakwaan memohon rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, didengar Julai ini.

Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin berkata perkara ini dimaklumkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan N.Kanageswari ketika pengurusan kes itu hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi sebarang alasan mengapa rayuan itu perlu didengar Julai ini.
Noorin dan seorang daripada peguam Anwar iaitu Ramkarpal Singh bertemu Kanageswari dalam kamar untuk pengurusan kes tersebut.

Kanageswari menetapkan 22 Feb ini untuk pendakwaan dan pembelaan kembali dan memaklumkan tarikh yang sesuai untuk pendengaran rayuan.

"Pendakwaan meminta rayuan didengar dalam bulan Julai," kata Noorin kepada pemberita.

Sementara itu, Ramkarpal berkata beliau perlu berunding dengan peguam lain sama ada tempoh yang dipohon pendakwaan sesuai dengan mereka.

Beliau berkata pembelaan lebih menumpukan perhatian terhadap pemerolehan nota prosiding sebelum mahkamah menetapkan tarikh pendengaran rayuan.

Pada 9 Jan tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Anwar, 65, daripada pertuduhan meliwat Mohd Saiful, 26, di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008 mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 20 Jan tahun lepas dan petisyen rayuan pada 9 Julai 2012 yang mengandungi sembilan alasan.

Penghakiman bertulis Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah setebal 80 muka surat mendedahkan dalam kes itu, 'ada berlaku penetrasi' namun ia tidak disokong bukti lain.

Hakim itu berkata mahkamah tidak boleh yakin sepenuhnya terhadap integriti sampel yang diambil untuk ujian DNA daripada Mohd Saiful kerana ia mungkin boleh terjejas sebelum sampai ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.- Bernama

Tiada ulasan: