Jumaat, 8 Februari 2013

Penipuan BN terbongkar, tuduh Pulau Pinang tidak bina rumah untuk rakyat miskin

 Roketkini.com



GEORGE TOWN, 8 FEB: Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang akan melaksanakan usaha paling besar berbanding negeri lain dengan membina sebanyak 19,172 unit rumah mampu milik di seluruh negeri.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, pelancaran hari ini hanya projek permulaan bernilai RM500 juta Rumah Mampu Milik yang dilaksanakan kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk membina 19,172 unit di seluruh negeri, termasuk di bahagian pulau.

“RM500 juta ini dapat disediakan berikutan penjualan tanah kerajaan negeri melalui tender terbuka. Kerajaan negeri mahu melaksanakan lebih banyak lagi iaitu membina 19,172 unit rumah mampu milik di Pulau Pinang iaitu lebih besar berbanding negeri lain.

“Kerajaan negeri menegaskan bahawa 1,840 unit pertama yang akan dibina oleh pemaju swasta dan PDC itu tidak termasuk jumlah 19,172 unit rumah mampu milik yang akan dibina di seluruh negeri,” katanya ketika berucap di majlis Pelancaran Pendaftaran Perumahan Mampu Milik di Komtar, di sini, semalam.

Majlis pelancaran pendaftaran minat untuk 1,840 rumah mampu milik di dua kawasan iaitu Jalan SP Chelliah sebanyak 1,320 unit di pulau dan Bandar Cassia, serta 520 unit di Batu Kawan, tanah besar.

Sehubungan itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menafikan fitnah dan tuduhan tidak berasas yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab bahawa kerajaan negeri tidak membina satu pun rumah kos rendah untuk rakyat miskin di negeri ini.

Menurutnya, kerajaan negeri membinanya melalui PDC mengikut model yang sama dengan kerajaan Persekutuan yang juga tidak membina rumah secara terus tetapi melalui Syarikat Perumahan Awam Negara (SPAN).

“Saya juga kesal apabila kerajaan negeri dan arkitek profesional saperti Datuk Rosli dituduh menipu oleh media kawalan BN bahawa hanya membina pangsapuri berharga RM400,000 sedangkan ia mengikut harga siling ditetapkan iaitu RM400,000 untuk kawasan bandar seperti George Town dan RM220,000 untuk kawasan luar bandar seperti Batu Kawan,” katanya.

Menurutnya, hari ini rakyat Pulau Pinang dapat melihat terbongkarnya penipuan BN kerana kebanyakan rumah dibina dijual dengan berharga antara RM72,500 hingga RM220,000 sekaligus tuduhan bahawa PDC mengaut keuntungan daripada program ini juga tidak benar kerana ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat PDC.

Menurut Guan Eng, daripada jumlah itu, 1,320 unit rumah pangsa kos sederhana rendah dan pangsapuri mampu milik akan dibina di Jalan SP Chelliah membabitkan 770 unit pangsapuri 700 kaki persegi kos sederhana rendah berharga RM72,500 seunit, 303 unit pangsapuri 800 kaki persegi berharga RM200,000, 165 unit pangsapuri 900 kaki persegi berharga RM300,000 dan 82 unit pangsapuri 1,000 kaki persegi berharga RM400,000.

“Saya ingin menekankan bahawa pangsapuri bernilai RM400,000 terdiri daripada 6.2% daripada keseluruhan 1,320 unit di Jalan SP Chelliah.

“PDC menetapkan dasar dari segi bilangan, saiz dan harga unit sebagaimana keperluan minimum di dalam Permintaan Cadangan (RFP) dengan tender terbuka yang berdaya saing untuk membangunkan projek rumah mampu milik di Jalan SP Chelliah mengikut maklum balas daripada beberapa pemaju.

“Dalam erti kata lain, sistem tender terbuka berdaya saing yang diamalkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang membolehkan PDC menyediakan lebih banyak rumah kepada rakyat Pulau Pinang berdasarkan konsep ‘Harga Rizab’. Setakat ini 17 syarikat telah menghantar tawaran,” katanya.

Lim Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, memandangkan program Rumah Mampu Milik dilaksanakan PDC, beliau mengarahkan Datuk Rosli Jafar supaya mematuhi harga dan garis panduan yang ditetapkan kerajaan Negeri.

“Datuk Rosli sudah mengikut harga siling yang ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Belanjawan 2013 September lalu iaitu RM72,500 hingga RM400,000 di kawasan bandar dan RM72,500 hingga RM220,000 di kawasan luar bandar,” katanya.

Menurutnya, lebih daripada 11,800 unit rumah mampu milik akan dibina di Bandar Cassia, Batu Kawan dalam tempoh antara 10 dan 15 tahun membabitkan pembinaan fasa pertama 149 unit pangsapuri 800 kaki persegi kos sederhana rendah RM72,000 seunit, 98 unit 900 kaki persegi berharga RM168,000 dan 273 unit 1,000 kaki persegi berharga RM220,000.

Bagaimanapun, fasa seterusnya bergantung kepada permintaan pasaran, PDC bercadang meningkatkan secara berperingkat bilangan harga berpatutan pada RM168,000 lebih daripada 60%. Apa yang penting adalah keazaman PDC untuk membina rumah mampu milik dengan kualiti terbaik di Malaysia.

Projek di Batu Kawan akan direka oleh Surbana International Consultants, yang bertanggungjawab terhadap rumah HDB Singapura yang terkenal di seluruh dunia. Perumahan awam di Singapura lebih mementingkan kualiti, rekaan dan konsep harap akan dibina di Batu Kawan dalam beberapa tahun lagi.

Beliau mengalu-alukan orang ramai untuk mengambil peluang mendaftar bagi rumah mampu milik di Komtar Concourse, MPSP Office di Bandar Perda dan pejabat PDC, Bayan Baru bermula hari ini sehingga 7 Mac 2013, dari 9 pagi – 5 petang setiap hari, termasuklah pada cuti umum Tahun Baru Cina ini.

“Mereka yang pendapatan seisi rumah bulanan tidak melebihi RM3,500 adalah layak untuk memohon unit kos sederhana rendah, manakala yang pendapatan melebihi RM3,501 layak memohon pangsapuri mampu milik,” katanya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: