Jumaat, 15 Februari 2013

Pas sedia ‘bantu’ Mahathir betulkan fakta

RUZY ADILA IDRIS

Mustafa Ali
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali
 
SHAH ALAM – Pas mendakwa sebahagian fakta yang dinyatakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui entri semalam bertajuk, Siapa Tipu Siapa tidak benar.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali secara sukarela menawarkan diri untuk bersemuka dengan Dr Mahathir itu untuk membuat pembetulan fakta dan membantu  membuat kenyataan berdasarkan fakta sahih.

“Beliau (Dr Mahathir) kalau nak bercakap perlulah cakap yang benar.

"Saya sedia semuka dengan beliau untuk jelaskan fakta. Saya sendiri merupakan sebahagian daripada kerajaan ketika itu dan menyaksikan sendiri survival Pas dalam mengatasi kemelut yang berlaku.

“Banyak fakta yang disebutkan itu salah. Yang pertamanya, Pas bukan keluar dari Barisan Nasional (BN) sebaliknya dipecat dari BN. Malah pemecatan itu dilakukan bukannya sebelum pilihan raya sebaliknya selepas pilihan raya,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Dr Mahahir mengatakan Umno tidak melakukan penipuan berhubung dakwaan yang dikeluarkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa parti itu berada dalam BN.

Dr Mahathir dilaporkan telah menjelaskan kenapa Pas tidak boleh bersama Umno dalam usaha untuk menyatupadukan orang Melayu.

Katanya, “perpecahan dalam Pas bukan kerana Umno tetapi kerana Datuk Mohd Nasir (Menteri Besar Kelantan ketika itu) mencabar kepimpinan Datuk Asri Muda (Presiden Pas ketika itu)."

“Kekalahan Pas menyebabkan Pas keluar dari BN. Tidak ada penipuan oleh Umno,” katanya.

Mengulas dakwaan Dr Mahathir itu, Mustafa menegaskan, Pas tidak pernah keluar dari Umno sebaliknya dipecat dari BN.

“Sebenarnya ketika itu, bukannya Pas tak boleh keluar sendiri tetapi Pas nak lihat sendiri keikhlasan BN,” katanya.

Selain itu, dalam entri tersebut Dr Mahathir turut mendakwa pada waktu itu timbul sengketa antara Asri dengan Mohd Nasir.

Katanya, Mohd Nasir mendakwa telah kesan banyak penyelewengan yang dilakukan oleh Asri semasa menggalas tugas sebagai Menteri Besar Kelantan.

“Asri cuba menyingkir Mohd Nasir melalui undi tidak percaya. Walaupun kalah Mohd Nasir enggan meletak jawatan.

“Ramai ahli Pas memihak kepada Mohd Nasir. Mereka mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran menentang Asri,” katanya lagi.

Berhubung dakwaan itu, Mustafa menjelaskan, konflik dua pemimpin Pas itu hanyalah masalah dalaman parti dan menafikan Mohd Nasir pernah membuat cabaran seumpama itu.

Katanya, Mohd Nasir tidak pernah mencabar Asri termasuk ingin menjadi presiden seperti yang berlaku di antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah ketika pemilihan Presiden Umno.

Beliau turut mendakwa, ketika konflik Pas memuncak, Umno berperanan mengaturkan agenda untuk merosakkan suasana dan merancang demostrasi di Kelantan sehingga negeri itu diisytihar darurat, seterusnya Dun Kelantan dibekukan.

Katanya lagi, ketika usul tersebut dibawa ke Parlimen, kesemua pemimpin Pas yang berjawatan sdalam Kabinet sepakat meletak jawatan kerana tidak bersetuju dengan usul tersebut.

“Moral politiknya kalau nak lawan perlu letak jawatan. Oleh sebab BN ketika itu ada kelebihan majoriti, maka sebab itu undang-undang itu tetap diluluskan. Lepas itu dikeluarkan Pas dari BN pada akhir 1977. Pilihan raya dibuat pada 1978.

“Sebaik Pas dikeluarkan dari BN, bermula segala tohmahan dan fitnah dikenakan ke atas Pas. Teruk fitnah masa itu,” ujarnya.

Kesal dengan kenyataan Dr Mahathir itu, Mustafa turut mengatakan bahawa Dr Mahathir sewaktu memegang potfolio sebagai Menetri Pelajaran pernah mengeluarkan kenyataan bahawa antara sebab Pas perlu dikeluarkan dari BN ialah jika Pas terus berada dalam BN, orang Melayu tetap tidak bersatu.

Malah katanya, Dr Mahathir juga mengatakan bahawa jika Pas berada di luar BN sekalipun, tidak akan mendatangkan masalah ataupun ada kena-mengena dalam usaha untuk pembentukan perpaduan Melayu.

Dalam pada itu, Mustafa turut mengakui dakwaan Dr Mahathir bahawa Asri ketika diberi tanggungjawab sebagai Menteri Tanah dan Galian yang bertanggungjawab terhadap Felda ada melakukan dakwah tentang Islam sehingga menyebabkan orang Umno sertai Pas.

“Apa salah Pas nak perkenal Islam melalui dakwah di Felda? Pendekatan dibawa Asri telah menyebabkan orang Felda faham tentang Islam dan lebih terima Pas berbanding Umno. Bila kagum melihat kepimpinan Pas, memang ada yang masuk Pas, tak dinafikan.

“Dulu dalam Felda tidak ada guru-guru agama. Umno sendiri tidak ada usaha untuk sampaikan ilmu Islam dalam Felda dan semasa Asri bertugas, usaha-usaha ini diperluas. Malahan, seni muzik Islam dan Okestra Suraya Selimut Putih juga dibawa ke Malaysia oleh Asri,” jelasnya.

Menafikan kenyataan terbaru dibuat Dr Mahathir ini bermotifkan dendam peribadi, sebaliknya Mustafa mendakwa ia adalah agenda politik Umno yang tidak boleh terima pihak yang bersama Umno mempunyai kelebihan dan Umno akan cuba mengawalnya.

“Kalau ada orang Felda masuk Pas, Umno tak boleh terima kerana kehendak Umno supaya ahlinya kekal dalam parti itu. Pas merupakan ancaman kepada Umno terutamanya dari sudut penerimaan orang Melayu terhadap Pas.

"Kerja Umno memang fitnah Pas. Ini bukan perkara baru tapi sejak dari dulu. Kekuatan Pas adalah ancaman buat Umno dan Umno akan menggunakan apa sahaja cara termasuk fitnah dan sanggup menafikan hak orang Pas untuk melemahkan Pas,” katanya lagi.

Tiada ulasan: