Rabu, 27 Februari 2013

Najib Hanya Berintergriti Jika Berani Menjawab Dakwaan Deepak Dan Bala


Oleh Shahbudin Husin

Minggu lalu Najib telah menandatangai ikrar intergriti pilihanraya bagi menunjukkan beliau seorang yang berintergriti dan pernyataan komitmennya membanteras rasuah khususnya menjelang pilihanraya umum akan datang. Beliau menandatangai ikrar anjuran Tranperancy International itu bersama beberapa pemimpin UMNO dan BN yang lain

Secara umumnya ikrar intergriti pilihanraya adalah kontrak sosial sukarela kepada calon-calon PRU 13 sebagai ikrar mereka untuk mempromosi intergriti, urustadbir kerajaan yang baik, ketelusan dan akauntabiliti serta mempertahan keluhuran undang-undang.

Empat ikrar intergriti yang ditandatangani itu ialah:

1) Calon mestilah melihat prinsip kebenaran, etika dan telus termasuk tidak menerima atau memberi rasuah atau terlibat dalam apa cara perlakuan rasuah,

2) Calon mesti mempertahan dan memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat seluruhnya,

3) Calon mesti mempraktik urustadbir kerajaan yang baik dan telus,

4)Calon mesti terikat dengan undang-undang dan peraturan yang terpakai di Malaysia.

Dengan menandatangani ikrar itu, Najib cuba menunjukkan beliau seorang yang berintergriti dan bebas daripada sebarang perlakuan yang bertentangan dari segi moral serta undang-undang sebagai seorang pemimpin. Sebab itu, selepas menandatangai ikrar itu, beliau sempat menyindir pemimpin Pakatan Rakyat yang didakwanya takut menandatangani ikrar yang sama kerana cuba menyembunyikan sesuatu daripada rakyat.

Tetapi lama sebelum itu, Najib telah turut dikaitkan dengan pelbagai perkara yang menjejaskan intergritinya sebagai pemimpin. Ia meliputi dakwaan beliau campurtangan dalam pemberian kontrak tambahan LTR Ampang kepada seorang rakannya, pemberian banyak kontrak kepada tauke muda bangsa Cina, Jho Low, komisyen kapal selam yang diterima Razak Baginda, perbelanjaan mewah isteri dan keluarganya serta pelbagai lagi. Jika dibariskan satu demi dakwaan mengenainya yang pernah tersiar di pelbagai media, mungkin memakan tiga hari untuk menulisnya.

Tidak lama sebelum ini pula, muncul seorang lelaki bernama Deepak mendedahkan pelbagai perkara mengenai salahlaku Najib dan isterinya, termasuk dakwaan keluarga Najib menerima rasuah daripadanya sebanyak RM8 juta, perbelanjaan membeli barang kemas mewah untuk Rosmah serta campurtangan dalam memberi arahan kepada Bousted Holding untuk mengambil alih projek Puspahanas yang turut dikaitkan dengan Ketua Wanita UMNO Selangor, Raja Ropeeah Raja Abdullah.

Semalam pula, P Bala, penyiasat persendirian yang terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya telah kembali ke Malaysia dengan hasrat untuk mendedahkan kebenaran mengenai misteri di sebalik pembunuhan model Mongolia yang turut dikaitkan dengan Najib itu. P Bala yang disambut meriah setibanya di KLIA juga bersumpah bahawa akuan bersumpah pertamanya yang mengaitkan Najib dengan Altantuya adalah benar manakala akuan bersumpah kedua yang dipaksakan keatasnya adalah palsu.

Dalam semua dakwaan yang dihadapkan kepadanya, Najib jarang memilih untuk menjawab dan bersikap telus. Dalam kes Deepak, beliau hanya berkata ringkas, lelaki itu tidak boleh dipercayai.

Dengan kepulangan P Bala ini, tak pula apa jawapan Najib mengenainya. Mungkin beliau akan mengaitkannya dengan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dan menyifatkannya sebagai agenda pilihanraya semata-mata.

Sebagai seorang yang telah menandatangai ikrar intergriti, itu bukanlah jawapan yang dikehendaki oleh rakyat dan pengundi. Jika benar telus dan berintergriti, Najib seharusnya tampil dengan berani menjawab segala tuduhan itu berserta dengan hujah dan bukti-buktinya. Jika dirasakan beliau dianiaya melalui dakwaan tidak benar pula, beliau sepatutnya mengheret mereka yang berkenaan ke mahkamah untuk menentukan kebenaran.

Malangnya, semua tindakan itu tidak berani diambil oleh Najib. Beliau banyak menyebut perkataan telus tetapi sikapnya tidak menunjukkan ketelusan. Beliau cuba menjadi seorang yang berintergriti sehingga sanggup menandatangani ikrar mengenainya tetapi perlakuan serta perbuataan sama sekali jauh tersasar daripadanya.

Najib seolah-olah mempunyai dua wajah yang berbeza dan tidak mempunyai perasaan malu mempamerkan dua wajahnya itu. Sementara banyak persoalan bermain di fikiran rakyat mengenai sikap dan kepimpinannya, beliau cuba menutupnya dengan menunjukkan watak lain yang seolah-olah beliau bersih daripada segala noda dan perlakuan yang tidak sewajarnya sebagai seorang pemimpin.

Untuk membuktikan ketelusan dan intergritinya,sekurang-kurangnya menjelang pilihanraya umum ini, persoalan dan dakwaan yang dibangkitkan oleh Deepak dan P Bala adalah asas untuk menguji dan menilai semula wibawanya sebagai pemimpin. Selagi tidak berani menjawab dan menunjukkan kebenaran dalam perkara itu, menandatangani sejuta ikrar intergriti pun tidak membawa makna, bukan saja saja kepada dirinya tetapi juga kepada rakyat seluruhnya.

Masih belum terlambat untuk Najib membuktikannya. Soalnya, sama ada beliau mahu menjadi seorang yang ikhlas kepada diri dan Tuhannya atau ikrar intergriti itu semata-mata agenda pilihanraya saja.

Tiada ulasan: