Isnin, 18 Februari 2013

Manifesto sedang disiapkan, aktivis BN bersedia untuk PRU13


KUALA LUMPUR — Parti-parti dalam Barisan Nasional (BN) sudah mula mengedarkan kompter riba dan telefon bimbit ke bilik operasi di seluruh negara untuk memantau dan mengumpulkan pengundi bagi Pilihan Raya 2013, dikala gabungan pemerintah itu sudah ditahap akhir untuk menyiapkan manifesto mereka menjelang pilihan raya umum. 
 
The Malaysian Insider difahamkan ibu pejabat Umno di sini sudah mula mengedarkan komputer riba dan telefon bimbit kepada semua bahagian parti untuk kegunaan semasa hari mengundi, sama seperti kempen calon presiden Amerika Syarikat Mitt Romney tahun lalu.

“Kami dapat komputer riba untuk menyemak status pengundi dan daftar pemilih terbaru. Dan telefon bimbit untuk menghantar kembali keputusan pilihan raya,” kata seorang pegawai Umno kepada The Malaysian Insider.

Beliau mengatakan Puteri Umno akan menggunakan komputer riba yang mempunyai daftar pemilih manakala ahli Umno lain akan menghantar keputusan kepada ibu pejabat parti.

Pegawai Umno berkata parti itu telah bekerja keras untuk memastikan tidak terdapat kegagalan komunikasi untuk menggerakkan pengundi dan juga menerima keputusan dan penilaian pada hari mengundi, tidak seperti Romney yang mana pelayan kempen rosak dan menghalang aktiviti hari mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengatakan daftar pemilih terbaru dengan 13.34 juta pengundi berdaftar akan digazetkan Jumaat ini. Malaysia mempunyai 28 juta populasi dan lebih kurang 16 juta orang layak mengundi, di mana ramai mendaftar semenjak Pilihan Raya 2008.

Seorang pemimpin BN juga mengesahkan kepada The Malaysian Insider bahawa gabungan pemerintah itu sedang menyiapkan manifesto pilihan raya, termasuk manifesto berbeza bagi beberapa negeri dan satu untuk wanita dan keluarga.

“Manifesto akan siap tidak lama lagi,” katanya, menambah persiapan pukal yang perlu dilakukan menjelang akhir bulan ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah membayangkan beliau akan mengadakan pilihan raya mengejut tidak lama lagi dengan penganalisis dan aktivis politik meramalkan ia tidak akan diadakan sebelum Mac 8, lima tahun selepas pilihan raya umum lalu.

Mandat semasa lima tahun BN hanya akan tamat tempoh lima tahun pada 28 April, 2008. SPR memutuskan tarikh hari mengundi, mempunyai 60 hari untuk mengadakan pilihan raya.

Terdapat spekulasi Najib mungkin membubarkan Parlimen bulan ini tetapi pegawai-pegawai BN berkata mereka masih menerima senarai calon dari parti komponen dan calon-calon yang berpotensi perlu dilakukan pemeriksaan latar belakang.

“PM hanya mahu calon boleh menang. Jadi kita perlu menyemak dan memeriksa dengan teliti,” kata seorang pegawai BN.

“Masih ada masa untuk pilihan raya pada Mac atau April, atau kemudian,” katanya menambah, enggan untuk membuat spekulasi jangka masa yang tepat untuk kempen pilihan raya rasmi dan hari mengundi.

BN mengalami kekalahan terburuk pada Pilihan Raya 2008 apabila kehilangan majoriti dua pertiga di parlimen dan empat negeri kepada PKR, PAS dan DAP.

Tiga parti berkenaan kemudiannya menubuhkan Pakatan Rakyat (PR) yang kini memerintah Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

PR juga memerintah Perak selama hampir satu tahun, akan tetapi pembelotan menyebabkan kerajaan mereka tumbang pada 2009.

Sumber memberitahu BN yakin menang 145 kerusi parlimen dalam Pilihan Raya 2013, lebih daripada 140 kerusi dimenangi pada tahun 2008.

Walau bagaimanapun, maklumat risikan mengatakan BN hanya akan memenangi 135 kerusi.

BN sekarang mempunyai 136 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat selepas empat ahli parlimen mengisytiharkan mereka bebas dan PR mempunyai 76 penggubal undang-undang selepas enam orang keluar dari pakatan tersebut.

Tiada ulasan: