Khamis, 28 Februari 2013

Lebih banyak sekolah di Kelantan ditutup kerana banjir

SINAR HARIAN

banjir
Sekolah Menengah Agama Muhammadi Rantau Panjang turut ditenggelami air berikutan banjir melanda negeri ini sejak semalam. Foto Bernama
 
RANTAU PANJANG - Sekolah di kawasan rendah yang terletak berhampiran Sungai Golok, terutama di jajahan Tumpat diarah bersiap sedia untuk ditutup berikutan air sungai mula melimpahi tebing, ekoran hujan lebat sejak empat hari lalu.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan, Hussain Awang berkata, sehingga 12 tengah hari, 33 sekolah di sekitar jajahan Pasir Mas khususnya di Rantau Panjang mula digenangi air sehingga menjejaskan pelajaran lebih 10,000 pelajar di kawasan itu.

Justeru itu, pelajar dan petugas sekolah terlibat diarah pulang lebih awal demi keselamatan mereka, katanya ketika melawat kawasan sekolah yang dilanda banjir di sekitar pekan Rantau Panjang di sini hari ini.

Semalam, JPN Kelantan mengumumkan sembilan sekolah ditutup setelah keadaan banjir di negeri itu semakin buruk. Ia termasuk sekolah di bawah pentadbiran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuala Krai, Tanah Merah, Machang dan Pasir Mas.

Beliau berkata, walaupun hujan mulai reda sejak malam tadi, namun peningkatan air sungai dari kawasan hulu telah menyebabkan air Sungai Golok melimpahi kawasan rendah.

"Sekolah di kawasan rendah di Tumpat biasanya akan digenangi air dalam tempoh enam jam dan lebih-lebih lagi dengan keadaan air laut yang pasang.

"Kita juga sedang membuat pemantauan dan mengikuti perkembangan banjir di seluruh negeri bagi mengeluarkan arahan selanjutnya kepada sekolah di kawasan terlibat," katanya.

Turut dilawati Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi di sini yang dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir bagi kira-kira 40 keluarga, sejak semalam.

Hussain juga menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi anak mereka daripada bermain air banjir berikutan dua pelajar berusia 13 dan 15 tahun menjadi korban banjir di Machang, semalam. -

Tiada ulasan: