Rabu, 27 Februari 2013

Jumlah mangsa banjir di Kelantan melebihi 1,000 orang

THE MALAYSIAN INSIDER
 
KOTA BHARU,  — Keadaan banjir di Kelantan semakin buruk dengan 1,036 orang dipindahkan ke 19 buah pusat pemindahan di tujuh jajahan yang terjejas banjir.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, jumlah terbanyak yang dipindahkan itu adalah di Kuala Krai membabitkan 456 orang diikuti Pasir Mas (247), Pasir Puteh (125), Tanah Merah (111), Bachok (61), Kota Baharu (24) dan Machang (12).

Kesemua mereka itu membabitkan 263 keluarga.

Sungai Golok di Rantau Panjang terus mencatatkan kenaikan paras air yang melebihi bahaya 9 meter iaitu pada 8.30 pagi ini sungai itu mencatatkan bacaan 10.26 meter.

Satu lagi sungai yang berada melebihi paras bahaya ialah Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah yang kini pada bacaan 17.10 meter (bahaya 16 meter).

Setakat ini banjir di Kelantan yang bermula semalam meragut dua nyawa pelajar berusia 13 dan 15 tahun di Machang.

Tiada jalan utama yang dilaporkan ditutup kepada lalu lintas melainkan beberapa jalan kampung berikutan limpahan air sungai. Cuaca di Kelantan kini mendung dengan sesekali hujan renyai. — Bernama

Tiada ulasan: