Rabu, 20 Februari 2013

Jelajah 10 hari jelas isu air Selangor

Roketkini.com



SHAH ALAM: Pelbagai fitnah dan tomahan Barisan Nasional (BN) yang mengelirukan rakyat dengan memainkan isu air Selangor bakal terjawab menerusi siri jelajah Forum Air Untuk Rakyat 10 hari berturut-turut bermula semalam hingga 28 Februari ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata siri jelajah itu bertujuan menjelaskan kepada rakyat mengenai pelan dan langkah yang akan dilakukan kerajaan negeri selepas mengambil alih perkhidmatan air.

“Kerajaan negeri menegaskan ini bukan pengambilalihan biasa syarikat komersil kerana perjanjian konsesi air membabitkan tiga pihak iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri yang pemegang sahamnya adalah rakyat.

“Urusniaga sepatutnya tidak boleh berpaksikan keuntungan semata-mata sebaliknya kebajikan rakyat juga perlu diberi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerajaan Pusat yang memiliki golden share atau saham emas dalam SYABAS menggunakan kuasanya bagi memastikan syarikat itu menerima tawaran kerajaan negeri Selangor, Abdul Khalid mahu Kerajaan Persekutuan bertindak segera memandangkan isu penyusunan semula industri air membabitkan kepentingan rakyat.

“Kami sudah menyediakan surat tawaran kepada syarikat konsesi itu dan berharap mereka tidak menjadikan faktor harga sebagai alasan untuk menolak tawaran berkenaan.

“Kami berulang kali menyatakan bahawa syarikat konsesi boleh membawa perkara ini kepada Timbangtara Antarabangsa bagi mendapatkan pampasan yang sewajarnya,” katanya.

Antara panelis yang terbabit dalam siri jelajah 10 hari itu ialah Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua; Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin.

Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini diasak kuat oleh BN yang mahu agar SYABAS dikekalkan di bawah syarikat swasta milik kroni mereka sedangkan perkhidmatan yang diberikan syarikat itu tidak memuaskan.-Roketkini.com

Tiada ulasan: