Selasa, 26 Februari 2013

Himpunan Kebangkitan Wanita simbolik Pakatan iktiraf wanita

Oleh Ruqayya Rahman)

KUALA LUMPUR : Hampir 4,000 wanita di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak menghadiri Himpunan Kebangkitan Wanita yang julung kali diadakan di Kompleks Beli Belah Spectrum, Bandar Baru Ampang, Ahad lalu.

Z 1

Hadir pada majlis itu, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin; Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zalilah Mohd Yusoff; Timbalan Wanita KEADILAN, Rodziah Ismail; Naib Ketua, Haniza Talha; Ketua Srikandi, Siti Aishah Shaikh Ismail dan barisan pimpinan wanita Pakatan.

Dalam ucapannya, Zuraida berkata, himpunan itu merupakan simbolik pengiktirafan Pakatan Rakyat terhadap peranan wanita.

“Walaupun sekadar suri rumah yang tidak bekerja, mereka juga sebahagian individu yang berperanan dalam melahirkan kepimpinan negara,” katanya menyeru wanita bersama Pakatan Rakyat memperjuangkan hak mereka.

“Undi wanita sangat penting, kerana penentu siapa layak jadi kerajaan Malaysia. Jadi kita perlu kerja sama-sama kerana satu undi anda, sama dengan satu langkah ke Putrajaya,” tambah Ahli Parlimen Ampang itu disambut tepukan hadirin.

Dalam himpunan itu, pimpinan wanita KEADILAN dilihat memakai apron “Pakatan Lindungi Keluarga Anda” sebagai simbolik menghargai peranan wanita dalam pembangunan negara.

Zuraida berkata, menerusi Skim Caruman Wanita Nasional, golongan wanita akan memperoleh bayaran minimum RM50 sebulan dari kerajaan pakatan rakyat.

Selain itu, katanya, wanita KEADILAN turut melancarkan insentif untuk wanita bekerjaya bagi menggalakkan penglibatan mereka dalam bidang keilmuan dan profesional.

Pakatan juga katanya, dalam rangka melancarkan pusat asuhan bayi untuk ibu-ibu bekerja dan menjamin semua skim tersebut dilancar sebaik pakatan rakyat memerintah.

Z 2

Majlis yang diacarakan penyanyi Dayangku Intan turut dimeriahkan dengan persembahan tarian dan kebudayaan pelbagai kaum disamping cabutan bertuah.

Terdahulu, mereka memeriahkan acara menggaul ‘Yee Sang’, sempena sambutan Perayaan Chap Goh Mei.

Tiada ulasan: