Rabu, 20 Februari 2013

21 dulang hantaran musnah terbakar, majlis kahwin diteruskan

Wartawan Sinar Harian

Tetap terus majlis kahwin
Dua anak Yahya, Mohd Zulkefli, 30, dan Masyusnita, 32, mencari barang berharga milik keluarga dan adik mereka yang bakal melangsungkan perkahwinan di tapak rumah yang terbakar.
 
MARANG - Hasrat seorang bapa, Yahya Harun, 61, untuk mengadakan kenduri kahwin anak lelakinya di Tumpat, Kelantan 21 Mac depan tetap diteruskan walaupun barang hantaran dan tempat tinggal mereka di Kampung Titian Baru di sini, musnah dijilat api.

Kebakaran yang mengakibatkan keluarga Yahya tinggal sehelai sepinggang turut memusnahkan kesemua persiapan perkahwinan anak keempatnya, Syawal Firdaus, 26, dan bakal menantu, Siti Fatihah Doloh, 25, termasuk set bilik tidur pengantin.

Bagaimanapun, Yahya dan isterinya Fazilat Mamat, 49, bertegas untuk meneruskan kenduri kahwin dijadualkan pada 21 Mac depan di negeri Che Siti Wan Kembang itu kerana pemilihan tarikh telah dibuat dan dipersetujui kedua-dua belah pihak.

“Sebanyak 21 dulang barang hantaran seperti pakaian, minyak wangi, kasut dan pelbagai barangan lain yang dalam proses disiapkan termasuk set bilik tidur musnah dalam kebakaran itu dan kesemua barang itu perlu digantikan dengan yang baru.

“Ini kerana kami tetap akan meneruskan kenduri kahwin Syawal dan Siti Fatihah mengikut jadual asal termasuk mengadakan kenduri sambut menantu di rumah kami pada April depan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan kebakaran yang berlaku kira-kira jam 3.30 petang itu  memusnahkan keseluruhan rumah Yahya dengan anggaran kerugian lebih kurang RM100,000 termasuk bahagian dinding rumah bersebelahan pasangan terbabit.

Namun, Yahya berkata, taksiran kerugian itu meningkat lebih sekali ganda kepada RM250,000 selepas pemeriksaan terperinci dilakukan ahli keluarganya dan anggota bomba dan penyelamat yang membuat pemeriksaan di kawasan kebakaran.

Tiada ulasan: