Selasa, 22 Januari 2013

UMNO didik Melayu berjiwa kecil, bergantung harap pada pemerintah

Roketkini.com

 

JOHOR BAHRU: Orang Melayu diingatkan tidak terperangkap dengan permainan politik “Melayu dan Islam” oleh UMNO-BN kerana sepanjang pemerintahan parti itu di negara ini, imej Melayu tercalar teruk dengan rasuah malah sehingga kini terdapat ramai orang Melayu yang masih mundur dan merempat di negara sendiri.
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Ariffin Omar berkata, bagaimanapun kini orang Melayu sudah membuka mata mereka terhadap segala ‘kejahatan’ yang dilakukan UMNO-BN.

“Dulu, kerajaan BN tidak nampak terlalu sibuk mahu ‘bela’ Melayu. Kenapa baru sekarang mereka nampak terdesak mahu membela Melayu?

“Takkan orang Melayu tak ada maruah sehingga boleh terus dipermainkan UMNO? Orang Melayu perlu sedar ini semua,” katanya dalam Wacana anjuran bersama Roketkini.com dan DAP Johor, di Skudai.
Sehubungan itu, seorang audien, Haris, 28, bangkit memberikan komen dan berkata, bahawa UMNO telah menjadikan orang Melayu berjiwa kecil.

“UMNO didik seolah-olah tanpa mereka, Melayu akan mundur. Bahkan sebelum merdeka, ada orang Melayu sehingga mempersoalkan kebolehan diri mereka untuk memerintah negara.

“Sifat tidak berkeyakinan, berjiwa kecil ini perlu dihapuskan. Tapi UMNO seolah-olah mahu Melayu terus bergantung harap pada mereka,” katanya.

Menjawab persoalan Melayu dan Islam yang dilontarkan seorang hadirin, Dr Ariffin yang juga Ahli Dewan Negara bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkata, terdapat banyak takrifan Melayu diberi dan bagi Malaysia, takrifan Melayu diberi oleh penjajah.

“Di Malaysia, orang Melayu itu beragama Islam. Kalau anda ke Flores, istilah ‘masuk Melayu’ di sana bererti ‘masuk Kristian. Di Filipina, di Madagaskar, orang Melayu di sana beragama Kristian,” jelasnya.
Bagaimanapun dalam konteks Malaysia, Dr Ariffin menegaskan bahawa semua harus menerima takrifan Melayu seperti tertakluk pada Perlembagaan Persekutuan.

“Sebab itu Shahrizat pun dikategorikan Melayu malah Ustaz Ridhuan Tee Abdullah juga ada yang panggil Melayu,” ujarnya lagi.Roketkini.com

Tiada ulasan: