Sabtu, 19 Januari 2013

SPRM tidak ambil keterangan Deepak, arah serah bukti minggu depan


Deepak Jaikishan di luar pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya, 18 Januari 2012. – Gambar oleh Choo Choy May
 
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengambil sebarang keterangan daripada usahawan karpet Deepak Jaikishan hari ini sebaliknya mengarahkan beliau untuk menyerahkan semua dokumen dan bukti melibatkan Pengakuan Bersumpah (SD) kedua oleh P Balasubramaniam untuk mereka meneliti dan membuat siasatan.

Deepak yang ditemui di pejabat agensi tersebut di Putrajaya memberitahu kepada wartawan bahawa semasa pertemuan dengan pegawai SPRM beliau telah diarahkan untuk menyerahkan bukti pada Selasa atau Rabu minggu depan.

“Hari ini tiada keterangan diambil oleh SPRM, saya pada mulanya ingatkan mereka akan ambil keterangan hari ini.

“Tetapi, pegawai yang mengendalikan kes saya menyuruh saya untuk pulang dan datang semula pada minggu depan untuk menyerahkan semua bukti dan dokumen,” kata Deepak kepada The Malaysian Insider.

Apabila ditanya bentuk dan jenis dokumen yang akan diserahkan, Deepak akan menyerahkan beberapa bentuk dokumen perjanjian dan juga kewangan yang melibatkan SD kedua Bala.

“Dokumen yang akan diserahkan mungkin seperti perjanjian dan kewangan,” terang beliau.

Dalam laporan The Malaysian Insider awal hari ini, Deepak menyatakan telah menerima arahan supaya hadir ke pejabat SPRM bagi memberikan keterangan melibatkan SD kedua oleh Bala berkenaan dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006.

“Ya, SPRM panggil saya berhubung dengan SD kedua Bala,” kata Deepak dalam mesejnya.

“Saya akan dedahkan semuanya secara bertulis kepada SPRM hari ini.”

Misteri identiti peguam tersebut timbul sejak SD kedua oleh Bala, ia bertarikh sehari selepas yang pertama pada 3 Julai 2008 melibatkan pembunuhan Altantunya hingga menyebabkan dua anggota elit komando polis telah didakwa dan menghadapi hukuman mati.

Dalam sidang medianya selepas itu, Balasubramaniam, ditemani oleh peguam M. Arulampalam telah menarik balik akuan bersumpah pertamanya dan mengatakan beliau dipaksa untuk menandatanganinya.

Beliau kemudian membuat akuan bersumpah kedua, yang kemudiannya didakwa beliau pada 2008 dilakukan oleh peguam lain tanpa persetujuannya.

Isu pembunuhan Altantunya dan SD Bala ini kembali mendapat perhatian umum selepas Deepak baru-baru ini mengakui beliau terlibat dalam mempengaruhi SD kedua Bala.

Beliau juga telah mendedahkan penglibatan seorang “Tan Sri” dalam SD tersebut dan kemudiaannya peguam senior Datuk Zaid Ibrahim juga membuat kenyataan susulan bahawa individu tersebut memegang kedudukan dalam panel Suruhanjaya SPRM.

Tiada ulasan: