Undang-undang tidak membenarkan seseorang itu didaftarkan sebagai pengundi tanpa pengetahuan mereka, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pemohon mesti menandatangani sendiri borang permohonan dan menyertaikan salinan kad pengenalan mereka.

Beliau mengulas dakwaan seorang bapa Tiruchelvam Vallipuram, yang mengadu nama anak perempuannya ada di daftar pemilih walaupun dia tidak pernah mendaftar.

Menurut Tiruchelvam, beliau mendapat tahu mengenai perkara itu apabila menerima kad ucapan Deepavali tahun lepas dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, yang menandatanganinya sebagai pengerusi BN Selangor.

Ia juga mengandungi butiran pengundian untuk anak perempuan berusia 22 tahun itu, seperti daerah mengundi dan kawasan pilihan raya.

"Anak perempuan saya belajar di India. Dia pergi ke sana sebelum 21 tahun dan dia pasti tidak dapat didaftarkan sebagai pengundi.

"Saya menyemak lamanweb Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memeriksa sama ada dia telah didaftarkan," kata Tiruchelvam .

Semakannya itu mengesahkan bahawa anak perempuannya itu adalah layak untuk mengundi dalam bahagian pilihan raya negeri Subang Jaya dan kawasan pilihan raya Parlimen Kelana Jaya, yang kedua-duanya diwakili oleh Pakatan Rakyat.

Tiruchelvam berkata beliau menghubungi anaknya mengenai perkara itu dan anaknya mengesahkan bahawa dia tidak pernah mendaftar sebagai pengundi.

Sehubungan itu, Abdul Aziz meminta Tiruchelvam memberikan nama penuh dan nombor kad pengenalan anak perempuannya itu untuk membolehkan SPR menyemak borang permohonannya yang disimpan oleh suruhanjaya tersebut.

"Memang ada aduan seperti ini tapi sedikit saja, apabila ditunjukkan borang permohonan menjadi pengundi, baru mereka memahaminya (apa yang berlaku)," katanya dalam jawapan melalui SMS kepada Malaysiakini semalam.

"Eloklah SPR semak dulu untuk mengetahui kedudukannya. Kalau sah berlaku penipuan, boleh diambil tindakan yg lain, mungkin membuat laporan polis," katanya.