Khamis, 17 Januari 2013

Seorang lagi mangsa letupan kilang sawit maut

SINAR HARIAN
 
HULU TERENGGANU - Seorang lagi mangsa kejadian letupan di kilang memproses kelapa sawit di sini lewat petang semalam, meninggal dunia pagi ini di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, menjadikan angka kematian kepada empat orang.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Mohd Ismail Muslim berkata, Mohd Razlan Mokhtar, 25, berasal dari Kuala Berang meninggal dunia kira-kira 9.30 pagi ini.

"Mangsa meninggal selepas hampir 13 jam dirawat di HSNZ setelah melecur hampir 90 peratus anggota badan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam kejadian letupan di kilang itu kira-kira 7.45 malam tadi, tiga maut iaitu penyelia Azmi Abdullah, 47, dan dua pekerja warga Nepal iaitu Pramod Kumar Ray, 30, dan Sanjib Kumar Pasman, 26, manakala seorang kritikal dan tiga lagi cedera ringan.

Mohd Ismail berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca satu daripada mesin mengukus buah kelapa sawit di kilang itu meletup namun siasatan lanjut mengenai punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Katanya tiga mangsa yang cedera ringan terdiri dua warganegara Bangladesh Ahmmed Ali, 39, dan Rezuyam Marom Ali, 45, dan Sabad Yedan, 44, dari Nepal yang dirawat di Hospital Hulu Terengganu sudah dibenarkan keluar hospital.- Bernama

Tiada ulasan: