Sabtu, 19 Januari 2013

Selangor mahu bawa isu air ke mahkamah

NURULFATIHA MUAH

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
 
KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri berhasrat untuk membawa isu penstrukturan semula industri air di Selangor ke mahkamah sekiranya ia masih belum menemui jalan penyelesaian.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan itu mungkin akan dilakukan untuk membuat semakan kehakiman jika Kerajaan Pusat masih berdolak-dalik dalam isu tersebut.

“Saya akan tulis surat (kepada Kerajaan Pusat berhubung hasrat menjalankan penyusunan semula industri air),” katanya selepas menghadiri Majlis Dialog Industri, di sini, semalam.

Hadir sama, Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah Kerajaan Negeri menyelesaikan masalah air di Selangor.

Abdul Khalid berkata, pihaknya kini menghantar pegawai pakar untuk membantu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bagi memastikan operasi air dapat diuruskan dengan betul.

“Sebab itu setiap tiga hari sekali, akan ada pengumuman dalam akhbar untuk memaklumkan keadaan status pengurusan air. Kerajaan Negeri akan pantau keadaan ini supaya kita diberitahu tentang keadaan sebenar.

“Bukan itu saja, kita juga menambah nilai pengurusan supaya tidak lagi pam-pam air yang rosak dibiarkan begitu saja,” katanya.

Beliau menyifatkan, isu air yang dimainkan banyak pihak kebelakangan ini menunjukkan bahawa program penswastaan air yang dijalankan di Selangor itu gagal dan ia hanya boleh diselesaikan menerusi penyusunan semula air seperti yang termaktub di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-Isu Air membenarkan pelaksanaan itu mengikut WSIA.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu tidak berhasrat untuk campur tangan dalam usaha Kerajaan Negeri mengambil alih pegangan ekuiti dalam syarikat-syarikat konsesi terlibat memandangkan ia transaksi komersial di antara kedua-dua pihak yang sewajarnya dilaksanakan berdasarkan konsep 'willing buyer', 'willing seller', seperti model holistik yang dihasratkan Kerajaan Selangor.

Tiada ulasan: