Sabtu, 19 Januari 2013

PPIM terima banyak aduan pengguna kecewa isu air

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima banyak aduan daripada pengguna yang kecewa dengan sikap pelbagai pihak yang saling menunding jari berhubung masalah air di Selangor.
  
Sehubungan itu, Setiausaha Agung PPIM Datuk Dr Ma'amor Osman meminta kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) mengenepikan kepentingan politik dan berbincang menyelesaikan isu air di Selangor.
  
"Maklum balas yang diterima dari laman blog dan akaun laman sosial Facebook PPIM menunjukkan para pengguna sangat kecewa," katanya ketika dihubungi Bernama.
  
Beliau berkata, penyelesaian segera perlu dicari supaya masalah bekalan air terawat kepada pengguna domestik dan industri di Selangor dapat diatasi segera.
  
Beliau berkata, hampir kesemua pam air di negeri Selangor berkemungkinan menghadapi masalah lebihan kapasiti disebabkan faktor usia dan pergerakan tanah.
  
"Oleh itu adalah penting pam-pam air yang ada perlu diselenggarakan dengan baik dari semasa ke semasa seperti di kebanyakan negara maju," katanya.
  
Baru-baru ini hampir setengah juta pengguna di sekitar Ampang, Gombak dan Lembah Keramat menghadapi masalah terputus bekalan air apabila rumah pam di Wang Maju gagal berfungsi. - Bernama

Tiada ulasan: