Khamis, 17 Januari 2013

PKR dakwa RCI buktikan Mahathir 'pengkhianat'


Ahmad Fadli KC


 
Timbalan presiden PKR Azmin Ali mendakwa perkembangan terbaru siasatan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat isu pendatang asing di Sabah membuktikan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad seorang "pengkhianat negara".

Azmin memberi alasan, semua agensi dan institusi kerajaan yang didakwa memberi kewarganegaraan kepada warga asing untuk membolehkan mereka mengundi pada masa itu berada di bawah pentadbiran Mahathir.

"Kita sedang meneliti perkembangan dan keterangan saksi, beberapa kejutan telah berlaku, (beberapa) nama-nama disebut, (dan perkara ini) tidak mengejutkan kita.

"Memang kita fahami ini satu usaha terancang yang diketuai mantan PM dan bagi saya beliau pengkhianat negara kerana bagi kad pengenalan kepada warga asing untuk kekalkan kuasa politik Umno," dakwanya.

Beliau mendakwa demikian dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Semalam, dua bekas orang kanan Mahathir dikaitkan oleh saksi yang memberi keterangan kepada suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung dakwaan pemberian kewarganegaraan untuk jadi pengundi di Sabah.

Bekas ketua Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tamparuli, Yakup Damsah memberi keterangan bahawa dia dan beberapa orang lain menginap di rumah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, yang merupakan setiausaha politik kepada Dr Mahathir pada masa itu untuk mengeluarkan kad pengenalan biru kepada pendatang asing.

Seorang lagi saksi, bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, Ramli Kamaruddin mendakwa menerima arahan dari timbalan menteri dalam negeri ketika itu, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub untuk mengeluarkan resit kad pengenalan sementara (resit JPN) dengan tarikh luput kepada warga asing, semata-mata untuk tujuan pilihan raya.

Tiada ulasan: