Sabtu, 12 Januari 2013

Penerbit TV3 kata bukan tugasnya sahkan tweet ‘WWW 1’ Nizar


KUALA LUMPUR —Penerbit berita kanan TV3 memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak menyemak fakta ‘tweet’ Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) mengenai bidaan nombor plat kereta “WWW 1” Sultan Johor.

Rohani Ngah yang bekerja di syarikat penyiaran tersebut selama 15 tahun, berkata tugas menyemak fakta dilakukan oleh pengarangnya sebelum beliau menyiarkan berita di Buletin Utama pada 30 Mei tahun lalu.

“Fakta disemak oleh Ing Boon Seng,” kata Rohani di Mahkamah Tinggi hari ini.

“Adakah anda terlibat dalam proses semakan fakta?” kata peguam TV3 Liew Teck Huat.

“Tidak,” kata produser berita berusia 39 tahun itu.

Nizar, bekas menteri besar Perak, memfailkan saman RM50 juta Julai lalu ke atas Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dan Rohani pada 30 Mei, 2012 berikutan laporan berita menuduh Tweet beliau yang boleh diintrepretasikan pelbagai tuduhan seperti melakukan hasutan, derhaka kepada Sultan Johor dan menghasut orang ramai untuk membenci pemerintah Johor.

Rohani yang memakai tudung ungu, menegaskan beliau hanya menyemak laporan berita dari sudut struktur, tatabahasa dan ejaan.

“Berita tersebut telah ditulis oleh wartawan. Dia diarahkan oleh editor untuk assignment. Editor akan semak berita. Approved by Datuk (Mohd) Ashraf (Abdullah),” katanya lagi merujuk kepada timbalan editor kumpulan untuk rangkaian televisyen dan radio Media Prima Berhad.

Apabila peguam Nizar Mohd Fikri Asmuni bertanya kepada Rohani apakah beliau bercakap dengan Ashraf mengenai berita tersebut, beliau menjawab: “Dalam kes ini, saya serahkan pada Datuk.”

Ashraff memberi keterangan hari ini bahawa TV3 menambah maksud “tweet” Nizar untuk mengatakan pemerintah Johor menggunakan wang rakyat dalam bidaan RM520,000.

“Sesiapapun yang membaca ‘tweet’ tersebut akan membuat kesimpulan sedemikian,”  kata Ashraf.

Nizar bagaimanapun tidak pernah menuduh Sultan Johor menggunakan wang rakyat untuk nombor plat tersebut.

Rohani menafikan beliau lalai dalam tugasnya selaku produser berita.

“Saya terima arahan untuk buat berita begitu. Story itu prepared oleh pihak editorial. Saya cuma menggunakannya,” kata Rohani.

Hakim Datin Yeoh Wee Siam menetapkan tarikh 4 Februari untuk serahan penggulungan dan 22 Mac untuk menentukan keputusan kes.

Tiada ulasan: