Sabtu, 12 Januari 2013

Pelajar Malaysia di Mesir diugut jangan buat himpunan hari ini

Harakahdaily,


KAHERAH: Dengan memanggil kumpulan yang dikira bukan pro BN, Duta Besar Malaysia ke Mesir mengugut pelajar Malaysia agar jangan membuat perhimpunan HKR di Mesir hari ini.

Pertemuan yang berlangsung selama hampir dua jam itu menyaksikan taklimat daripada Datuk Fakhruddin Abdul Mukti yang bercakap mengenai demokrasi di Malaysia.

Beliau menuduh pembangkang adalah Khawarij, asal demonstrasi adalah mengikut kebangkitan Iran dan sebagainya selain isu-isu kebajikan dan pendidikan pelajar.

Antara ancaman yang diberikan adalah larangan agar jangan ada mana-mana pelajar membuat atau menyertai himpunan sebegitu jika ada.

Jika tidak, mereka akan dibuang sebagai yang berlaku kepada Mohd Firdaus Madzlan yang menyertai himpunan Bersih sebelum ini.

Firdaus,  pelajar Darul Ifta’ Misriyah,  yang merupakan Presiden NGO, Gerakan Suara Rakyat (SUARA) ketika itu dibuang pengajian kerana menyertai perhimpunan Bersih 2.0 yang diadakan di Kaherah.

Firdaus yang pada ketika itu hampir menamatkan pengajian, telah dinafikan sijil pengajian beliau.

Sekiranya diadakan juga rapat umum pada tarikh tersebut, maka gambar dan nama akan diambil dan akan dihantar oleh pihak kedutaan kepada Pejabat Sheikh Al-Azhar sepertimana yang telah dilakukan kepada  Firdaus.

Pihak kedutaan berkali-kali mengingatkan  supaya tidak mengadakan sebarang perhimpunan pada tarikh 12 Januari 2013 hari ini.

Tiada ulasan: