Rabu, 16 Januari 2013

Listen: Pemuda PAS temui Bawani ucap tahniah

Muhammad Faeez Azahar,  


 


KAMPAR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang diwakili Exconya, Mohd Hakim Mohd Nor telah bertemu dengan mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM), KS Bawani yang menjadi buah mulut masyarakat ketika ini setelah berani tampil ke depan menyatakan pandangannya pada satu forum yang dianjurkan di universiti tersebut.

Pertemuan singkat itu diadakan di kediamannya di Air Kuning, Kampar semalam yang turut disertai oleh Exco Pemuda PAS Perak, Isran Fahmi dan Ketua Pemuda PAS Tapah, Shamsul Busra.

Mohd Hakim mengucapkan sekalung ucapan tahniah kepada Biwani mewakili DPPM atas keberaniannya menyatakan pandangan di program yang dianjurkan itu.

Katanya, Pemuda PAS sentiasa memberi sokongan kepada beliau yang berani berhadapan untuk menyatakan kebenaran di khalayak ramai.

Bawani, seorang pelajar yang aktif memperjuangkan hak rakyat dan mahasiswa menceritakan tentang kejadian itu kepada wakil Pemuda PAS.

Menurutnya, program tersebut berlaku kira-kira sebulan lalu dan sangat terkejut video itu meletup sejak semalam selepas Harakahdaily mengeluarkan berita video tersebut.

Kata beliau, ramai yang menelefon beliau memberi sokongan dan semangat termasuklah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Ketika ditanya apakah respons UUM selepas tersebarnya video itu, Bawani berkata beliau belum menerima sebarang panggilan daripada pihak universiti.

Beliau sangat berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan padu kepadanya dan ianya akan menambahkan lagi semangatnya untuk berjuang mengangkat hak rakyat khususnya suara mahasiswa.

Tiada ulasan: