Khamis, 24 Januari 2013

Kajian UM: Pengundi muda, kaum Cina tertinggi dikategorikan sebagai ‘tak pasti’

TERKINI


Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (UMCEDEL) membentangkan hasil kajian mereka pada 23 Januari 2013. – Gambar oleh Choo Choy May
KUALA LUMPUR — Pengundi muda dalam lingkungan 21 hingga 30 tahun dan masyarakat kaum Cina antara mereka yang masih lagi belum membuat sebarang keputusan untuk mengundi Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya umum (PRU)  ke-13 tidak lama lagi, menurut kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya(UMCEDEL).

Hasil daripada kajian UMCEDEL tersebut mendapati dua golongan tersebut merupakan yang tertinggi dikategorikan sebagai “tidak pasti”.

Daripada kajian tersebut,  sebanyak 51 peratus pengundi muda (21-30 tahun) masih “tidak pasti” sama ada akan memilih BN atau PR, manakala pengundi berumur 41-50 tahun pula 15 peratus, pengundi 31-40 tahun sebanyak 13 peratus, 51-60 tahun sebanyak 9 peratus dan 61 tahun ke atas sebanyak 12 peratus.

Menurut pengarah UMCEDEL, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman jumlah tertinggi tersebut boleh dihubungkan dengan penemuan satu lagi di mana pengundi muda ini rata-ratanya merupakan pengundi kali pertama yang baru mendaftar.

“Peratusan pengundi muda adalah yang paling tinggi ‘tidak pasti’.

“Jadi, perkara ini boleh dihubungkan dengan satu lagi penemuan yakni pengundi muda ini adalah paling tinggi terdiri daripada mereka yang mengundi buat kali pertama pada pilihan raya tidak lama lagi,” terang beliau.

Berdasarkan penemuan UMCEDEL, pengundi muda “tidak pasti” terdiri daripada 48 peratus yang merupakan pengundi kali pertama.

Dalam kajian tersebut juga, UMCEDEL mendapati kaum tertinggi yang masih “tidak pasti” dalam membuat keputusan di peti undi terdiri daripada masyarakat Cina dengan 53 peratus, manakala kaum Melayu sebanyak 37 peratus dan India sebanyak 10 peratus.

Menurut Mohammad Redzuan, pengundi kaum Cina paling sukar untuk menentukan sama ada mereka menyokong atau tidak dan terlalu berahsia.

Oleh sedemikian, UMCEDEL terpaksa menggunakan penyelidik berbangsa Cina untuk mendapatkan maklumat dan butiran yang lebih tepat daripada kategori pengundi tersebut semasa menjalankan kajian mereka.

"Bagi pengundi kaum Cina, kami terpaksa menggunakan pengkaji sebangsa dengan mereka kerana kumpulan ini boleh dianggap sebagai berahsia dan sukar untuk didekati.

"Jadi, kami pengkaji boleh mendapatkan data dan hasil kajian dengan tepat dan benar," tambah Mohammad Redzuan.

Lebih menarik lagi, majoriti pengundi "tidak pasti" ini terdiri daripada mereka yang memiliki kelayakkan pendidikan tinggi iaitu berijazah di universiti dengan sebanyak 49 peratus, berpendidikan SPM sebanyak 18 peratus manakala mereka yang berpendidikan STPM pula terdiri daripada 15 peratus.

Majoriti pengundi berbangsa Cina ini juga cenderung memilih Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dengan sebanyak 61 peratus berbanding Datuk Seri Mohd Najib Razak yang hanya 35 peratus sahaja.

Walaubagaimanapun, keseluruhan responden yang memberikan maklum balas kepada UMCEDEL menyatakan pilihan perdana menteri (PM) mereka masih Datuk Seri Mohd Najib Razak dengan 43 peratus bersetuju tetapi angka tersebut masih belum cukup baik kerana Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh 42 peratus sokongan, hanya satu peratus berbeza dengan Najib.

Kajian oleh UMCEDEL ini melibatkan 1, 409 responden dan dijalankan oleh sebanyak 43 pengumpul kajian yang diselia 4 pegawai daripada badan bebas tersebut.

Teknik kajian yang dijalankan adalah dengan bersemuka dan menerusi panggilan telefon dengan responden.

Pengundi "tidak pasti" atau atas pagar ini merupakan kunci penentu kemenangan kepada PR dan BN dalam pilihan raya tahun ini, memandangkan kumpulan ini terdiri kira-kira 30 peratus daripada 13 juta pengundi berdaftar.

Berbeza dengan pengundi atas pagar kaum Melayu, pengundi "tidak pasti" daripada masyarakat Cina mahukan pengurusan ekonomi yang baik dan telus.

PR dilihat mendahului BN dalam kelompok pengundi kaum Cina yang "tidak pasti" dimana beberapa pendedahan melibatkan skandal pemimpin utama kerajaan telah memberikan gambaran dan imej buruk keatas pemerintah negara tersebut namun pengundi muda "tidak pasti" kedua-dua lawan masih berpeluang untuk mencari sokongan terhadap mereka.

Pentadbiran Najib juga dilihat bekerja keras untuk memikat hati pengundi ini memandangkan pengundi tidak lagi menghargai parti yang berasaskan politik kaum.

BN memperolehi 4.08 juta undi pada tahun 2008 berbanding dengan PR 3.79 juta undi - perbezaan sebanyak 290,000 undi - dan pembangkang berharap pengundi baru pada pilihan raya akan datang dapat membantu mereka menambahkan baki kepada parti komponen PR yang terdiri daripada DAP, PAS dan PKR.

Tiada ulasan: