Sabtu, 19 Januari 2013

Kafa nafi dakwaan PBNJ

SITI FATIMAH MUHAMMAD ALI

Annuar Musa
Tan Sri Annuar Musa
 
PETALING JAYA - Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) menafikan dakwaan Persatuan Bolasepak Johor (PBNJ) bahawa pihaknya selaku tuan rumah tidak menyediakan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) semasa perlawanan Kelantan-Johor Darul Takzim di Stadium Sultan Muhammad IV, Selasa lalu.

"Kami tidak menggunakan FRU kerana keadaan stadium kecil, tapi kami menyediakan beratus pihak polis untuk menjaga keselamatan dan jumlah itu sangat mencukupi," kata Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui di Stadium Petaling Jaya selepas perlawanan Felda United-Kelantan, hari ini.

Annuar kesal dengan tuduhan itu kerana segala persiapan telah dibincangkan bersama Setiausaha Agung PBNJ, Suhairi Hashim sebelum bermulanya saingan.

Sehubungan itu, beliau mahu PBNJ menghentikan tuduhan dan tidak membesar-besarkan perkara tersebut.

Susulan kenyataan Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kecewa terhadap tindakan dan kelakuan penyokong The Red Warriors yang betindak agresif selepas taatnya perlawanan, Annuar menyatakan perkara itu tidak benar.

"Itu tidak betul, tiada sebarang gangguan sepanjang 90 minit perlawanan, tiada unsur-unsur bahaya, semuanya berjalan lancar.

"Pada malam itu, semuanya berjalan lancar, saya sendiri yang memerhati dan memberi arahan kepada pihak berkuasa untuk membuka satu lagi pintu bagi mengelakkan pertembungan antara kedua-dua penyokong," katanya lagi.

Baginda yang juga Tunku Mahkota Johor bertitah, Kafa sepatutnya terlebih dahulu mengawal penyokong sendiri supaya tidak berlaku yang tidak diingini.

PBNJ turut  menyatakan kekecewaan terhadap Kafa selaku persatuan yang berpengalaman tetapi masih lagi berlaku perkara sedemikian.

Tunku Ismail bertitah, pihak baginda menerima banyak aduan penyokong Johor dibaling batu dan botol oleh penyokong fanatik Kelantan.

"Selain itu para pemain dan penyokong Johor terpaksa menyelinap keluar melalui pintu lain selepas lampu limpah dipadamkan dan diiringi Polis Diraja Malaysia sejauh 20 kilometer meninggalkan stadium," kata baginda.

Tiada ulasan: