Selasa, 22 Januari 2013

Isu air: AMK Selangor mohon campur tangan istana

Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor yang mendakwa isu air di negeri itu sengaja dipolitikkan oleh Barisan Nasional akan mengadakan satu himpunan aman 25 Januari ini, bermula di pekarangan Masjid Sultan Sulaiman, Klang sebelum berarak ke Istana Alam Shah.

Pihaknya kemudian mahu merafak sembah Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyerahkan memorandum meminta campur tangan baginda dalam isu air.

Ketuanya, Azmizan Zaman Huri menerusi satu kenyataan media berkata, himpunan itu yang dikenali sebagai Himpunan Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat itu diadakan apabila rundingan mengenai isu air ini tidak berkesudahan dan mencapai persefahaman yang sepatutnya.

"Memorandum demi memorandum telah dikemukakan dari peringkat pengurusan Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) sehingga ke Istana Negara oleh pimpinan Pakatan Rakyat Selangor, namun sehingga hari ini tiada sebarang hasil positif.

"Justeru, AMK Selangor merasakan telah sampai masanya untuk kami turun merafak sembah dan memohon ihsan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk campur tangan dalam isu ini," katanya.

Jelasnya, AMK Selangor cukup terkesan dengan kesusahan dan penderitaan rakyat di negeri ini apabila terpaksa berdepan dengan masalah kekurangan air.

"Perkembangan mutakhir turut membayangkan bahawa isu ini dengan sengaja telah dipolitikkan secara melampau oleh pimpinan Umno-BN dengan memesongkan fakta dan kenyataan sebenar.

"Umno-BN menerusi media kawalan mereka secara berterusan memanipulasi isu ini seolah-olah ia berpunca daripada keengganan Kerajaan Negeri Selangor untuk memberi kelulusan kepada projek Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2) sedangkan realiti sebenar adalah sebaliknya," tambah beliau.

Hakikat katanya, Syabas selaku syarikat konsesi yang diberikan kontrak menguruskan pembekalan air terawat kepada rakyat Selangor telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Kita sedia maklum bahawa sejak tiga tahun yang lalu, Kerajaan Negeri Selangor di bawah kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah berunding dengan pihak Syabas untuk mengambil alih pengurusan air di negeri Selangor," ujar beliau.

AMK Selangor turut mengulangi desakan supaya Syabas menyerahkan operasi merawat dan membekal air kepada Kerajaan Negeri Selangor ekoran kegagalan Syabas membekalkan air terawat yang mencukupi kepada pengguna.

"Keengganan Syabas berbuat demikian bukan sahaja melanggar perjanjian yang telah dibuat malah menyusahkan rakyat di negeri Selangor," ujarnya.

Tiada ulasan: