Khamis, 24 Januari 2013

Isteri tebusan sedih kematian tragis suami

Wartawan Sinar Harian

IPOH - Isteri mendiang Chong Chung Ngen, rakyat Malaysia yang dilaporkan terbunuh dalam krisis tebusan di Algeria, mendakwa terlalu sedih dengan kematian penuh tragis suaminya.

Karen Tham Yoke Thing, 54, berkata kematian suaminya hanya dimaklumkan Wisma Putra kepadanya malam kelmarin.

Katanya, mendiang sebagai Inspektor Kawalan Kualiti dengan syarikat JGC Construction Pte. Ltd, baru tiga bulan bekerja di Algeria.

“Saya berharap semua memahami keadaan saya selepas mendapat berita kematian suami yang dimaklumkan oleh Wisma Putra lewat malam semalam (kelmarin),” katanya dengan nada sedih ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Ipoh Timur di sini, semalam.

Yoke Thing yang ditemani kakaknya, Janet Tham, 60, berkata, beliau belum pasti bila mayat mendiang akan tiba kerana masih menunggu Wisma Putra menguruskan penerbangan untuk membawa pulang mayat suaminya itu.

Katanya, iparnya yang tinggal di ibu negara akan menguruskan penerimaan mayat mendiang yang akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam waktu terdekat.

Difahamkan Yoke Thing bekerja sebagai jururawat dan pasangan itu mempunyai seorang anak yang sedang menuntut di sebuah universiti di Singapura.

Sementara itu, Kerajaan Perak mengucapkan takziah kepada keluarga Chung Ngen dan turut berkongsi kesedihan bersama keluarganya.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata beliau diberitahu mangsa adalah anak Perak dan mengucapkan simpati kepada keluarganya.

“Saya berharap keluarganya dapat bersabar dengan kejadian yang menimpa mangsa. Ini adalah perkara yang tidak kita rancang dan harap mereka tabah menghadapi keadaan ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri.

Tiada ulasan: