Khamis, 10 Januari 2013

Himpunan 12 Jan: BN dakwa PR mula tertekan

Wartawan Sinar Harian

Tengku Adnan Tengku Mansor
Tengku Adnan Tengku Mansor

SHAH ALAM - Tindakan Pakatan Rakyat (PR) mengadakan Himpunan Kebangkitan Rakyat Sabtu ini menunjukkan pihak berkenaan sudah rasa tertekan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Saya pun tak tahu mengapa mereka mahu menganjurkan satu tunjuk rasa tetapi umumnya ia dilakukan oleh kerana rasa tertekan,” kata beliau dipetik Umno Online, hari ini.

Himpunan Kebangkitan Rakyat diadakan antara lain untuk memberi tekanan ke atas kerajaan menjelang PRU13 bagi menyelesaikan isu-isu yang belum menemui penyelesaian.

“Saya tahu, mereka mahu mengadakan himpunan ini kerana pada 2013 ini mereka akan mencapai kemerosotan yang ketara dalam PRU, tidak menang dan kemudiannya mereka akan menuduh BN menipu dan SPR tipu.

"Inilah masalahnya apabila mereka akan lihat apa saja yang dilaksanakan oleh kerajaan sebagai salah,” kata beliau yang Setiausaha Agung Umno.

Jelas beliau lagi, segelintir pihak yang bertindak sedemikian mahukan sesuatu yang tidak diingini tercetus, malah mereka seolah-olah tidak rela kesatuan dalam kepelbagaian yang menjadi agenda negara diteruskan.
“Persoalannya kenapa perlu ada tunjuk rasa? Kalau nak kata SPR tak betul, maka tak mungkin mereka akan ada wakil rakyat dalam Parlimen.

"Kalaulah SPR ini ikut telunjuk Barisan Nasional, maka sudah pastilah 99.99 peratus adalah berpihak kepada BN dalam pilihan raya tapi SPR merupakan satu badan yang bebas, yang menjalankan tanggungjawabnya sebagai Suruhanjaya Pilihan Raya.”

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, rakyat Malaysia perlu disedarkan dengan sandiwara mereka kerana ramai orang yang cemburu dengan kedudukan negara ini yang mampu mengekalkan prestasi baik biarpun sebuah negara kecil.

“Saya berkeyakinan mereka yang nak menunjuk rasa ini mahu mendapat perhatian daripada luar negara, kawan-kawan mereka yang ada di luar negara terutamanya yang membiayai mereka kerana kalau tidak ada perbuatan sedemikian maka pembiayaan tidak akan dilaksanakan maka ini yang terpaksa dilakukan.

“Kalau nak bandingkan negara ini dengan negara-negara yang merdeka atau yang dekat dengan kita ternyata kita lebih maju daripada orang lain dengan kaedah ‘unity in diversity’. Mereka mahukan satu kaedah kekacauan dan kucar-kacir berlaku dalam negara kita ini.

“Lebih malang lagi apabila ada orang Malaysia sendiri yang diperguna sebagai tali barut kepada pihak lain," kata beliau lagi.

Tiada ulasan: