Khamis, 17 Januari 2013

Cuepacs: Hampir 20 peratus Pembantu Am Pejabat tidak pernah kursus

SINAR HARIAN

logo cuepacs
Cuepacs
 
PUTRAJAYA - Hampir 20 peratus daripada 32,000 Pembantu Am Pejabat sektor awam di seluruh negara tidak pernah mengikuti sebarang kursus meskipun telah lama berkhidmat.
  
Fakta ini berdasarkan Data Kajian Hadir dan Tidak Hadir Kursus (2009-2011) yang dilakukan Kesatuan Pembantu Am Pejabat Perkhidmatan Awam Semenanjung Malaysia.
  
Menurut Setiausaha Agung Cuepacs Loke Yim Pheng, sepatutnya golongan itu diberi peluang mengikuti kursus sebagaimana penjawat lain.
  
"Peluang perlu diberikan untuk meningkatkan kemahiran mereka kerana sumbangan mereka juga penting kepada sesebuah jabatan, bukan hanya mereka yang berjawatan tinggi sahaja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis dialog bersama Pembantu Am Pejabat di sini hari ini.
  
Beliau berkata kajian turut mendapati ada di kalangan mereka telah berkhidmat hampir 10 tahun, tetapi tidak pernah berkursus sedangkan dalam perkhidmatan awam, penjawat diperlukan menghadiri kursus selama tujuh hari dalam setahun.

Ditanya sebab berlakunya perkara itu, Loke berkata ia antara lain dikatakan kerana kakitangan tidak mencukupi dan ketiadaan peruntukan jabatan.
  
"Janganlah disebabkan mereka Pembantu Am Pejabat, mereka diketepikan sedangkan dengan menghadiri kursus, ia dapat memberi mereka motivasi untuk terus berkhidmat dengan baik dan cemerlang," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: