Ahad, 9 Disember 2012

SPR jamin dakwat pengundi awal boleh tahan seminggu

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan dakwat kekal yang dicalitkan pada jari pengundi awal mampu bertahan seminggu bagi memastikan tiada penipuan di hari pembuangan undi.

Selain itu, ketahanan dakwat berkenaan juga sudah diuji SPR dan warna yang akan digunakan bagi pengundi luar berbeza berbanding dakwat kekal yang akan digunakan pada hari pengundian nanti.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata pihaknya juga menjemput mana-mana parti politik supaya menghadiri demonstrasi dan simulasi yang diadakan SPR bagi mendapat maklumat sebenar berhubung penggunaan dakwat kekal berkenaan.

Dakwaan bahawa dakwat itu boleh dihilangkan adalah tidak benar kerana kita sudah mengujinya," Wan Ahmad Wan Omar, Timbalan Pengerusi SPR

Dakwat tahan seminggu

“Dakwat yang akan digunakan pada Pilihan Raya Umum nanti sudah pun ditempah, kita bagi jaminan dakwat kekal bagi pengundi awal boleh bertahan selama seminggu dan tidak akan hilang walaupun cuba dibersihkan.

“Ia bertujuan mengelak penipuan. Dakwaan bahawa dakwat itu boleh dihilangkan adalah tidak benar kerana kita sudah mengujinya. Warnanya juga nanti sudah pasti berbeza dengan pengundi biasa.

Babit kos besar
“Pembelian dakwat ini membabitkan kos yang besar, sudah pasti kita akan memanfaatkannya sebaik mungkin kerana ia membabitkan proses pilihan raya untuk menentukan wakil rakyat dan juga kerajaan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Penggunaan dakwat kekal pada PRU-13 adalah salah satu daripada syor yang dicadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi menambah baik proses pilihan raya di negara ini.

Wan Ahmad berkata, SPR sedang merancang rapi proses Pilihan Raya Umum akan datang, terutama membabitkan pembaharuan yang bakal dilaksanakan bagi memastikannya berjalan lancar serta rakyat memahaminya sebaik mungkin.

Sementara itu, mengulas mengenai kekecohan yang berlaku dalam beberapa siri ceramah beliau berkata, parti politik perlu lebih peka serta mematuhi segala peraturan dikeluarkan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan terpelihara.

Katanya, parti politik juga perlu mengelak daripada mengadakan ceramah ataupun rapat umum berhampiran mana-mana bilik gerakan ataupun pusat operasi sesebuah parti politik kerana ia boleh mengundang ketegangan.

Tiada ulasan: